ALIFF bawa watak sebagai Aliff Syukri dalam drama Cina Buta. - FOTO Rohanis Shukri
ALIFF bawa watak sebagai Aliff Syukri dalam drama Cina Buta. - FOTO Rohanis Shukri
Norhayati Nordin


Pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz, 31, menyifatkan dirinya sebagai hamba Allah yang masih belajar dan memohon maaf kepada penonton sekiranya ada yang tidak mempersetujui cara lakonan dalam drama dibintanginya.

Aliff berkata, dia juga memohon kepada semua mendoakannya supaya diberikan kemudahan dan kekuatan sepanjang dia berkarya sebagai pelakon serta aktif dalam industri hiburan.

"Untuk saya, masih sebagai hamba Allah yang masih belajar. Banyak perlu saya pelajari, banyak perlu saya menitikberatkan dan saya memohon maaf sekiranya ada perkara yang tidak dipersetujui penonton.

"Tapi, saya mohon doa pada semua semoga saya diberikan kemudahan dan kekuatan sepanjang berkarya sebagai pelakon, insya-Allah," katanya pada majlis sidang drama Cina Buta, baru-baru ini.

Terdahulu, Aliff pernah dikaitkan dengan kontroversi susulan isu babak berpelukan antaranya dengan pelakon, Intan Najuwa ketika penggambaran drama Jodohku Babysitter arahan Hadith Omar di Genting Highlands pada Julai lalu.

Ditanya juga mengenai kritikan netizen, Aliff yang pernah popular dengan lagu Sayang Sayang berkata, ini lumrah pekerjaan sebagai karyawan, sebagai pelakon, sebagai penghibur di mana pasti dan pasti akan ada orang yang tidak bersetuju.

ALIFF (dua dari kiri) bersama barisan pelakon drama Cina Buta. - FOTO Rohanis Shukri
ALIFF (dua dari kiri) bersama barisan pelakon drama Cina Buta. - FOTO Rohanis Shukri

"Tapi, itu (kritikan netizen) tidak seharusnya menghentikan penggiat lain untuk berkarya. Kalau tidak, semua orang akan buat benda sama, cerita lebih kurang sama dan tukar pelakon saja. Jadi, saya bersyukur dapat terbabit dalam drama Cina Buta terbitan Radius One ini.

"Walaupun penceritaannya agak berat dengan mengangkat isu 'cina buta' dalam perkahwinan, tapi ia digarap secara santai. Ditambah, banyak mesej dimuatkan dalam drama ini terutama pengertian 'cina buta' yang pasti ramai masih tidak tahu dengan jelas," katanya.

Melakonkan watak Aliff Syukri, lelaki bujang kaya yang berjaya dalam perniagaan, Aliff berkata, dia gembira menggunakan nama itu kerana Aliff juga adalah nama sebenarnya.

Katanya lagi, ia hanya nama watak dan tiada kaitan dengan sesiapa pun.

Selain Aliff, karya Cina Buta yang mengisi slot Mega Drama di Astro Ria turut menampilkan barisan pelakon lain seperti Ungku Ismail, Nad Zainal, Puteri Aishah, Aman Aziz, Azhan Rani, Anas Ridzuan dan Didie Alias.

Ia mengisahkan pasangan suami isteri, Sharnaz (Ungku Ismail) dan Mia Sara (Nad) yang sering bergaduh hingga melafazkan cerai lebih dua kali. Namun, kerana cinta mereka mencari jalan untuk berkahwin semula.

Bakal menemui penonton sebanyak 18 episod, drama ini mula disiarkan hari ini, jam 10 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2022 @ 6:47 AM