Sudirman Mohd Tahir


MENJADI pelakon bukan sahaja menuntut dirinya menjiwai watak diberikan, tapi juga perlu menjadikan watak itu hidup dalam dirinya.

Disebabkan itu, Elisya Sandha yang mendapat tawaran melakonkan watak Norma iaitu pemain boling kebangsaan menerusi drama Ratu Ten Pin mengambil inisiatif mendapatkan khidmat jurulatih sebelum penggambaran dimulakan.

Elisya, 22, atau nama sebenarnya Nur Elisya Mohd Faisal berkata, dia sebolehnya tidak mahu kelihatan bodoh dalam menjayakan sesuatu watak.

"Alhamdulillah, rezeki saya bawa watak Norma dalam Ratu Ten Pin yang akan ditayangkan di Astro. Saya antara orang pertama yang tahu Mama Sheila (Sheila Rusly) akan buat Ratu Ten Pin. Dia cakap, kalau nak bawa watak ini saya kena tahu macam mana nak main boling.

"Saya pula bukan seorang pemain boling, jadi itu adalah cabaran terbesar dalam kerjaya untuk belajar sesuatu yang tak pernah buat dan kena berlakon untuk menjadi seorang yang sangat hebat dalam sukan boling.

"Saya kalau buat sesuatu akan pastikan diri tak nampak bodoh. Apabila diberitahu watak ini kena pandai main boling, saya ambil alternatif sendiri untuk mencari jurulatih peribadi. Sebulan sebelum memulakan penggambaran saya sudah buat latihan. Jadi saya sudah tahu teknik. Cuma boling ini tak boleh jadi handal dalam masa singkat, kalau nak sekurang-kurangnya setahun berlatih," katanya.

Berlakon di bawah arahan Azman Yahya atau Jinggo dan dibantu Sheila Rusly yang juga bakal ibu bapa mentuanya bukan alasan untuk Elisya mengambil kesempatan.

Sebaliknya, Elisya termasuk tunangnya iaitu Uzair Haqimy atau Haq selaku pengurus produksi drama itu masing-masing bersikap profesional.

"Meletakkan diri sebagai pelakon dalam masa sama bakal menantu sebenarnya gementar sangat sebab tak pernah kerja sekali apabila sudah menjadi tunang Haq.

ELISYA (duduk, kanan) bersama Sheila (berdiri, kiri) dan pelakon yang menjayakan drama Ratu Ten Pin.
ELISYA (duduk, kanan) bersama Sheila (berdiri, kiri) dan pelakon yang menjayakan drama Ratu Ten Pin.

"Alhamdulillah, masing-masing tahu tugas. Saya tahu tanggungjawab sebagai pelakon dan Haq sebagai pengurus produksi. Jadi, semua profesional ketika di lokasi. Selepas tamat penggambaran, kami kembali biasa. Kalau kena tegur sedikit pun tak ambil hati.

"Saya sudah tetapkan di minda datang lokasi untuk kerja bukan untuk perkara lain. Saya datang lokasi sebagai pelakon supaya tak ada yang terguris hati jika ditegur. Mama Sheila banyak ajar saya membawakan watak Norma ini, jadi saya berasa semua teguran sangat bermakna," katanya.

Selain Elisya, drama Ratu Ten Pin turut menampilkan Fify Azmi, bekas pemain boling kebangsaan Syaidatul Afifah, Nazim Othman, Wani Kayrie, Lisdawati, Datuk Seri Eizlan Yusof, Aleeza Kasim, Dazrin Kamarudin, Akhmal Nazri, Haziq Hero Remaja dan ramai lagi.

ELISYA bawakan watak Norma, pemain boling kebangsaan dalam drama Ratu Ten Pin.
ELISYA bawakan watak Norma, pemain boling kebangsaan dalam drama Ratu Ten Pin.

Rancang kahwin tahun depan

Melihatkan keserasian dengan Sheila seperti yang dikongsikan di YouTube terutama ketika memasak, Elisya berkata, dia teruja apabila mereka berkongsi minat sama iaitu memasak.

"Sebenarnya saya tak sampai setahun lagi rapat dengan keluarga Haq. Tapi kami ada keserasian yang wujud secara kebetulan. Mungkin sebab minat sama iaitu suka masak. Jadi dari situ nak belajar dengan dia.

BAKAL berkahwin tahun depan, Elisya bersama tunangnya, Uzair Haqimy.
BAKAL berkahwin tahun depan, Elisya bersama tunangnya, Uzair Haqimy.

"Mama Sheila pula tak ada anak perempuan. Jadi, apabila ada orang yang nak belajar masak dengan dia, dia jadi teruja. Dari situ terbentuknya keserasian sampai sekarang," katanya.

Berkongsi mengenai perkahwinan, Elisya berkata, dia dan Haq merancang untuk berkahwin tahun depan.

"Persiapan kahwin, belum lagi sebab masing-masing sibuk. Sekarang ini adalah proses kumpul duit. Perancangan sudah ada tapi bukan tahun ini, insya-Allah tahun depan.

"Kami pun baharu lagi bertunang iaitu pada Februari lalu. Cuma memang tak tetapkan pun berapa lama bertunang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 6:01 AM