ZAMARUL.
ZAMARUL.
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pelakon Zamarul Hisham, 51, menyifatkan antara simpati dan kecaman, watak Adam lakonannya dalam drama Aku Tanpa Cintamu di TV3 akan lebih mendapat kecaman daripada penonton kerana emosi yang berubah-ubah.

Zamarul atau nama sebenarnya Zamarul Hisham Mohamed berkata, apapun dia sudah melakukan sehabis baik untuk karakter itu, termasuk sedia menerima kecaman penonton hasil daripada lakonannya.

"Kalau betul-betul tengok jalan cerita, memang 'confirm' watak Adam akan dikecam, 110 peratus. Tapi, sebagai hero dalam cerita ini, otak saya berfikir dan berbincang juga dengan Bella untuk 'menyelamatkannya'.

"Sekurang-kurangnya, walaupun Adam akan tetap dikecam oleh penonton, tapi masih ada lagi rasa suka, rasa sayang dan kasihan kepadanya. Susah nak buat itu, tapi saya cuba," katanya ditemui pada sidang media secara virtual, baru-baru ini.

Ditanya juga kesukaran melakonkan watak bertukar 'mood', Zamarul berkata, memang susah. Ujarnya, dua minggu awal ketika 'shooting', dia jadi 'blur' memikirkan kehendak sebenar watak Adam itu.

"Saya jadi 'blur' sebab daripada seorang penyayang, Adam kena bertukar jadi baran. Kemudian, okey semula, baik dan gembira. Jadi, saya tak pasti nak buat yang macam mana. Kalau buat terlebih nanti, nampak macam gila. Kalau berhati-hati pula, macam 'control'.

"Bagaimanapun, memandangkan saya pun ada sedikit masalah Personaliti Obsessif Kompulsif (OCD) di rumah, maka saya bawa ia masuk ke dalam karekter Adam itu dan ditambah menjadi agak garang. Maka, berhasil seperti dipertontonkan," katanya.

Melihat kecaman penonton dan netizen pada sudut positif, Zamarul berkata apabila orang kurang senang dengan watak dilakonkan iti dan jadi perbualan, ia bermakna usaha dilakukan menjadi. Katanya, dia okey saja dikecam kerana watak Adam itu.

Drama Aku Tanpa Cintamu yang mengisi slot Samarinda TV3, menggandingkan Zamarul bersama Bella Astillah sebagai Nuha.

Diarahkan oleh Emi Suffian, barisan pelakon lain seperti Datuk Seri Eizlan Yusof, Mas Anizan, Zarynn Min dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 2:54 PM