RIZKY Febian.
RIZKY Febian.
Agensi

Jakarta: Hubungan penyanyi Rizky Febian, 24, dengan bapa tirinya, Teddy Pardiyana masih tidak baik walaupun ibunya, Lina Jubaedah sudah beberapa tahun meninggal dunia.

Malah, Rizky juga dikatakan sudah membuat laporan polis terhadap Teddy atas dakwaan menggelapkan wang dan harta peninggalan milik ibunya yang satu demi satu habis dijual bagi membayar hutang.

Dalam satu temubual media Indonesia yang disiarkan di YouTube, Teddy menafikan dakwaan dibuat Rizky terhadapnya dengan menjelaskan tindakan menjual harta milik Lina itu memang untuk membayar hutang ditinggalkan isterinya.

"Sebagai waris yang masih hidup, menjadi kewajipan saya untuk membayar semua hutang isteri yang masih belum selesai dilunaskan. Jadi, kenapa saya harus didakwa menggelapkan hartanya?

"Kami juga ada seorang anak, Bintang yang masih kecil dan perlu dijaga rapi. Mereka (Rizky) memang mahu saya masuk penjara dan kini, proses hukum (undang-undang) juga masih berjalan," katanya.

Difahamkan, dakwaan Rizky itu berpunca dari hasil penjualan kereta milik Lina yang dilakukan Teddy, termasuk beberapa aset lain turut dijual serta wang simpanan wanita itu juga habis digunakan.

Dalam masa sama, Rizky turut diperkatakan sudah bersedia mengurus dan menjaga Bintang.

Katanya, jika dia diminta pihak berkuasa untuk menjaga Bintang, pasti akan diterima kerana kanak-kanak itu adalah adiknya.

Allahyarham Lina yang bernikah dengan pelawak, Sule iaitu bapa Rizky pada 1997 dan dikurniakan empat anak. Hampir 20 tahun hidup bersama, mereka akhirnya bercerai pada 2018 dan Lina berkahwin pula dengan Teddy.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2022 @ 11:42 AM