SHAHIR bersama isterinya, Jaskin. FOTO Aizuddin Saad
SHAHIR bersama isterinya, Jaskin. FOTO Aizuddin Saad
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Isteri kepada penyanyi Shahir Zawawi, Jaskin Jaludin mengakui tidak pernah tahu bahawa suaminya itu seorang artis ketika awal perkenalan mereka pada Mei lalu.

Jaskin, 33, berkata, dia hanya mengetahui latar belakang kerjaya Shahir selepas membuat keputusan untuk lebih serius dalam hubungan mereka.

"Ketika awal perkenalan, saya tak tahu dia siapa. Saya tak tahu dia artis sebab saya tak tengok AF (Akademi Fantasia). Bila kami dah mula buat keputusan untuk serius.

"Selepas itu, barulah saya tahu dia artis. Jadi, saya tanya dia, betulkah dia artis dan saya tanya, siapa dia.

"Saya jarang selidik dan periksa profile Instagramnya. Kalau berbual dalam ruang mesej di Instagram pun, dia tanya sepatah, saya jawab sepatah," katanya.

Menurut Jaskin, dia juga sudah bersiap sedia untuk berdepan dengan tempias populariti memandangkan Shahir cukup dikenali di dalam industri seni tanah air.

"Saya dah bersedia. Saya faham kerjaya dia dan tak meletakkan sebarang syarat," katanya.

Sementara itu, Shahir berkata, dia juga sudah mengajukan soalan sama kepada isterinya sebelum melangkah ke alam perkahwinan.

"Awal-awal lagi, saya dah bertanya kepada dia sama ada dia bersedia untuk berhadapan dengan benda-benda (populariti) ini. Jadi, bila dia cakap dah bersedia, barulah saya berani untuk teruskan hubungan kami.

"Saya tak mahu membawa dia ke 'tempat' yang menyeksa dia. Dia pun faham, sebab dah banyak melalui pelbagai dugaan dalam kehidupannya," katanya.

Pasangan Shahir dan Jaskin berkenalan pada Mei lalu dan kemudiannya mengikat tali pertunangan pada 16 Julai di kampung halaman Jaskin di Sabah.

Terdahulu, pasangan itu diijabkabulkan dalam majlis akad nikah yang berlangsung, malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2022 @ 3:45 PM