DANISH Iskandar umpama diberi 'nyawa kedua' selepas terselamat daripada kemalangan jalan raya di Lebuhraya Maju Expressway, Seri Kembangan.
DANISH Iskandar umpama diberi 'nyawa kedua' selepas terselamat daripada kemalangan jalan raya di Lebuhraya Maju Expressway, Seri Kembangan.
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon, Danish Iskandar mengaku trauma untuk menaiki kenderaan selepas berdepan insiden kemalangan yang hampir meragut nyawanya di Lebuhraya Maju Expressway, Seri Kembangan, di sini, baru-baru ini.

Danish ketika dihubungi berkata, keadaan kecederaannya juga sudah beransur pulih dan berada dalam keadaan baik.  

"Perasaan trauma itu masih ada, tapi saya masih boleh kawal perasaan takut itu sebab mungkin bukan saya yang memandu kereta pada kejadian itu. 

"Alhamdulillah luka sudah tiada manakala lebam-lebam juga sudah semakin surut. Retak di bahagian bahu kiri juga tidak terlalu serius.

"Cuma ketika membuat pemeriksaan di hospital, doktor memberikan cuti rehat selama sebulan untuk pastikan saya pulih sepenuhnya,"katanya. 

Danish juga bersyukur apabila tiada perkara penting yang perlu dilunaskan sepanjang tempoh pemulihan. 

"Saya bakal menyambung pengajian bulan depan, kemudian saya juga tidak ada 'hutang' babak penggambaran. Kebetulan buat masa ini saya memang tiada apa-apa kerja yang penting untuk dilaksanakan. 

"Alhamdulillah saya juga dimaklumkan dua kawan yang kritikal sudah berada di wad biasa tapi ada seorang kawan yang perlu menjalani pembedahan tulang rusuknya yang patah. Saya harap tiada perkara yang serius berlaku kepadanya,"katanya. 

Terdahulu, Danish atau nama sebenarnya, Muhammad Danish Iskandar Muhammad memberitahu, dia umpama diberi 'nyawa kedua' selepas terselamat daripada kemalangan jalan raya.

Menceritakan detik kejadian jam 9 pagi itu, Danish bersama lima rakannya dalam perjalanan ke Putrajaya, namun disebabkan rakan yang memandu mengalami 'microsleep' atau tiba-tiba tertidur, kereta yang dinaiki berpusing dan terbabas melanggar pembahagi jalan. 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2022 @ 2:55 PM