Fazura. FOTO Rohanis Shukri
Fazura. FOTO Rohanis Shukri
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi, Fazura menafikan dirinya kini sedang berbadan dua gara-gara mengenakan kasut sukan bersama kain labuh beropol merah jambu dan blaus hitam.

Demi memenuhi komitmen kerja, Nur Fazura Sharifuddin, 39, tetap mengikuti jadual tugasan yang sudah disusun dalam keadaan bahagian bawah kaki kirinya retak sejak dua minggu lalu.

Katanya, insiden terlanggar besi lampu sorot ketika menjayakan sebuah penggambaran mengakibatkan dia terpaksa bergantung kepada pil penahan sakit buat sementara waktu.

"Semasa hamil pun saya masih memakai kasut tumi tinggi, tetapi kali ini kerana kaki saya mengalami kecederaan terlanggar besi tiang lampu masa 'shooting'.

"Memang saya merancang untuk menambah cahaya mata, namun jadual kerja tidak mengizinkan. Insya-Allah, jika ada rezeki pasti saya kongsikan kepada semua.

"Saya memakai kasut suka kerana kaki memang sakit. Selepas bahagian bawah kaki mula nampak kebiruan dan membengkak, suami bawa saya jumpa doktor. Dari situ baru dimaklumkan ada retakan.

"Doktor nasihatkan pakai pendakap gentian kaca, tapi saya kena 'terbang' ke Jakarta, Indonesia. Selepas pulang nanti saya akan berjumpa doktor lagi untuk pemeriksaan susulan. Sekarang saya ambil ubat tahan sakit saja dan patut jangan lasak," katanya ketika ditemui selepas sidang media Konsert Faztival Fazura 2022 yang berlangsung di Hotel Mandarin Oriental, baru-baru ini.

Fazura dan aktor, Fattah Amin mendirikan rumah tangga pada November 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata bernama Nur Fatima Aisya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 2:08 PM