Pelakon Scha Elinnea. Foto dari Instagram
Pelakon Scha Elinnea. Foto dari Instagram
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Meskipun sudah sinonim dengan imej seksi, tetapi pelakon Scha Elinnea, 22, masih menjaga batas walaupun akan tampil seksi untuk watak pelayan khidmat pelanggan (GRO) dalam drama Kerana Aku Isteri Bidaan di TV3.

Scha ditemui pada sidang media virtual drama itu berkata dia juga bersikap terbuka dan sudah sedia menerima kecaman netizen terhadap imejnya apabila drama itu mula ditayangkan slot Samarinda, jam 10 malam, pada 16 Mei ini.

"Saya tahu kebanyakan orang memang tahu saya seksi di luar. Tapi, sejauh mana keberanian saya tampil seksi melakonkan watak Raina dalam drama Kerana Aku Isteri Bidaan masih ada batasnya.

"Jika orang nak kecam nanti, saya tak boleh nak halang sebab apa yang ditunjukkan itu bersangkut paut dengan tanggungjawab kerja saya sebagai pelakon yang membawakan watak Raina sebagai GRO dan kerja di kelab malam," katanya kepada Harian Metro.

Scha berkata watak itu juga memerlukan dia bermain banyak emosi dan ia satu cabaran besar buatnya sebagai pelakon baharu.

Apapun, penonton kena tengok dulu drama ini kerana banyak mesej boleh diambil sebagai iktibar.

Ditanya juga mengenai kesihatan mentalnya yang sebelum ini dilaporkan mengalami gangguan kronik, Scha berkata masih berada dalam keadaan terkawal kerana dia juga bergantung lagi dengan pengambilan ubat-ubatan.

"Tahap kesihatan mental saya sekarang dalam keadaan baik walaupun masih bergantung dengan ubat-ubatan. Malah, saya juga sudah tidak perlu berjumpa pakar psikiatri setiap minggu sebagaimana sebelum ini.

"Saya bersyukur dapat menjaga kesihatan dengan lebih baik sekarang. Apatah lagi, sesi rawatan dengan pakar masih dilakukan dan yang pasti, alhamdulillah semuanya dalam keadaan terkawal," katanya.

Pada Oktober tahun lalu, Scha atau nama sebenarnya Nur Azleen Natasha Natasha Mohamed Mubeen mendedahkan dia berhadapan masalah gangguan mental yang berpunca disebabkan kemurungan teruk dialaminya.

Menurut Scha, dia juga sudah lama sebenarnya berdepan masalah itu dan keadaan semakin teruk semasa penularan Covid-19 yang membuatkan dia banyak berfikir bukan-bukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2022 @ 4:39 PM