TUAH Adzmi
TUAH Adzmi
Zaara Talita

Kuala Lumpur: Penyanyi Tuah Adzmi, 24, mendakwa dia 'dipinggirkan' syarikat pengurusan FMC Music dan terpaksa berjuang sendiri sepanjang bertanding dalam program Big Stage 2022.

Tuah atau nama sebenarnya Arumi Nafis Mohd Adzmi sebelum itu didakwa netizen sebagai besar kepala kerana enggan menerima bantuan daripada FMC Music.

"Siapa yang berada di sekeliling saya sepanjang dalam Big Stage 2022 ini pasti menyedari dan mengetahui situasi yang saya lalui. Saya melakukan semua persiapan tanpa sokongan daripada pengurusan.

"Namun, apabila terbaca komen mengatakan saya angkuh sebab tak mahu bantuan 'team', terus buat saya bangkit mendedahkan keadaan sebenar supaya tidak terus dituduh menyombong.

"Jauh di sudut hati memang saya terkilan tetapi siapa saya untuk meminta-minta sedangkan pihak berkenaan seharusnya tahu tanggungjawab mereka," katanya.

Tuah berkata, dia tetap cekalkan hati mengatur segala-galanya dengan pertolongan orang terdekat serta kru produksi kerana mahu memberikan persembahan terbaik dan enggan mensia-siakan peluang.

Bagaimanapun, penyanyi yang juga komposer ini tersingkir dari program itu selepas mendapat markah terendah pada 28 Februari lalu.

Tuah aktif di YouTube sejak berusia 15 tahun sebelum dia 'diikat' FMC Music pada 2019.

Dalam tahun yang sama, Tuah merakamkan single berjudul Selepas Insan Ku Cinta bersama syarikat rakaman itu.

Di sebalik kekecewaan tersingkir daripada program realiti itu, Tuah berkata, dia lega apabila beban yang tergalas di bahu sudah berakhir.

Baginya, Big Stage menjadi gelanggang perjuangan yang mengajarnya supaya terus cekal berdepan cabaran selain menghadirkan 1,001 pengalaman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 3:26 PM