Angelina ketika masih bersama bekas suaminya, Pitt. FOTO AGENSI
Angelina ketika masih bersama bekas suaminya, Pitt. FOTO AGENSI
Agensi

Los Angeles: Hubungan pelakon Angelina Jolie, 46, dengan bekas suaminya Brad Pitt, 57, yang panas kerana menang hak penjagaan bersama untuk enam anak mereka sebelum ini semakin bertambah panas.

  Ia berikutan tindakan terbaharu Pitt yang mengambil tindakan undang-undang terhadap Angelina kerana menjual ladang anggur dan memproses arak tanpa persetujuannya. 

   Angelina difahamkan sudah menjual bahagian miliknya kepada seorang usahawan dari Rusia, sedangkan Pitt dikatakan melabur sejumlah wang besar dan juga tenaga ketika membeli ladang yang terletak di Perancis itu pada 2008.

   Mereka ketika itu bersepakat tidak akan menjual bahagian masing-masing tanpa persetujuan salah seorang antara mereka.

   Angelina membuat permohonan mahkamah untuk melakukan proses jual beli pada Julai tahun lalu dan Pitt membenarkan perkara terbabit, namun tidak meletakkan sebarang persetujuan.

   Dia bagaimanapun terkejut apabila mendapat tahu proses jual beli sudah dijalankan pada Oktober, tahun lalu.

   Pitt mendakwa tindakan Angelina itu dibuat tanpa bertanyakan kepadanya terlebih dulu.

   Dia kini bertindak memohon pihak mahkamah untuk membatalkan perjanjian jual beli terbabit.

   Pitt dan Angelina berkahwin pada Ogos 2014 dan sah bercerai pada April 2019. Pasangan ini mempunyai tiga anak iaitu Shiloh serta pasangan kembar Knox dan Vivienne. 

   Mereka juga mengambil tiga anak angkat iaitu Maddox, Zahara dan Pax.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Februari 2022 @ 5:16 PM