JOLIE.
JOLIE.
Susunan Michelle Gun


Khabar angin rumah tangga pasangan selebriti Angelina Jolie dan Brad Pitt bergolak dan akan bercerai masih hangat diperkatakan di Internet.

Difahamkan Jolie mahu menamatkan perkahwinan mereka selepas mendapat tahu Pitt masih berjumpa bekas isterinya, Jennifer Aniston yang juga pelakon popular.

Bintang filem Lara Croft itu dikatakan mula mengesyaki suaminya berlaku curang selepas mendapati Pitt beberapa kali ke rumah Aniston.

Perkhabaran itu hangat diperkatakan semula awal tahun ini namun terus senyap selepas pasangan berkenaan dikatakan sudah menyelesaikan masalah mereka.

Susulan perdamaian mereka, Jolie dan Pitt dikhabarkan merancang mengambil anak angkat baru dari Afrika Selatan, Burundi atau Ethiopia.

Menurut sumber, Jolie, 41, mahu menyedarkan masyarakat supaya tidak mengabaikan anak yatim yang bukan bayi.

“Jolie berkata orang lebih suka mengambil bayi sebagai anak angkat dan tidak menyedari anak yatim yang lebih besar juga memerlukan perhatian,” katanya.

Sumber itu berkata, pasangan berkenaan turut berpendapat kanak-kanak berusia 10 tahun ke atas mudah menyesuaikan diri dengan enam anak mereka.

Anak pasangan itu ialah Maddox, 15, Pax, 12, Zahara, 11, Shiloh, 10, serta kembar Knox dan Vivienne, 8.

Dalam perkembangan lain, portal E! Online melaporkan Jolie tidak akan mengajar di Universiti Georgetown, Amerika Syarikat seperti dihebohkan pihak tertentu di Internet.

Bagaimanapun, universiti berkenaan mengalu-alukan Jolie dan ahli politik British, William Hague untuk berkongsi pengalaman karier masing-masing kepada pelajarnya pada bila-bila masa.

Buat masa sekarang, Jolie dan Hague hanya mengajar di London School of Economics, United Kingdom yang akan bermula dalam masa terdekat ini.

Menurut E! Online, antara topik bakal dikupas pelakon itu dalam kuliah ialah berkaitan wanita, keamanan dan keselamatan.

Selain menjadi tenaga pengajar, Jolie kini sibuk dengan beberapa projek termasuk filem baru Maleficent 2 dan First They Killed My Father: A Daughter of Cambodia Remembers.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2016 @ 5:17 AM