SITI.
SITI.
Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: Penghibur terkenal negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 42, bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa mengambil langkah pantas apabila turun padang bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di sekitar Shah Alam, Selangor, hari ini. 

Siti menerusi perkongsian video di Instagram miliknya kelihatan sebak dan mengakui berdebar apabila terpaksa mengharungi banjir untuk menjalankan misi bantuan di beberapa lokasi kepada penduduk yang terjejas.  

Siti berkata, dia hilang kata-kata sebaik melihat keadaan banjir yang berlaku. 

"Ya Allah... Saya tak terkata. Semoga Allah SWT permudahkan dan lindungi mangsa-mangsa banjir ini Ya Allah," katanya. 

Menerusi hantaran di Instagram Story, Siti berkongsi keberadaannya di salah satu rangkaian pemborong dan peruncit halal untuk membeli barangan keperluan.

"Kita cuba sebaiknya untuk membantu mereka yang terkesan akibat banjir. Saya tengok ramai juga insan-insan serta badan yang prihatin.

"Kami semua sedang berusaha untuk membantu mangsa banjir. Semoga Allah permudahkan," katanya. 

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 4:08 PM