Alec Baldwin. FOTO AGENSI
Alec Baldwin. FOTO AGENSI
Agensi

Los Angeles: Pelakon Alec Baldwin, 51, mendedahkan dia tidak pernah menarik picu pistol dan bingung kenapa pistol itu diisi peluru hidup sewaktu insiden malang tertembak mati ahli sinematografi Halyna Hutchins, 42, di lokasi penggambaran filem Rust, baru-baru ini.

Dia berkongsi pengakuan itu pada sebuah temubual bersama George Stephanopoulos untuk program ABC.

Menurutnya, dia tak pernah mengacu pistol pada sesiapa dalam hidupnya.

"Apa saja yang mampu saya lakukan? Picu itu tidak ditarik langsung dan tertembak dengan sendiri secara tiba-tiba.

"Saya tak pernah mengacukan pistol kepada sesiapa, takkan. Seseorang mengisi peluru hidup dalam pistol itu dan peluru itu tidak sepatutnya berada di situ," katanya.

Baldwin jelas tewas dengan emosinya dan menitiskan air mata dalam temubual berkenaan.

Malah, dia menyifatkan Hutchins adalah seorang yang sangat dia kagumi dan disayangi ramai.

Menurut laporan, peluru yang menyebabkan Hutchins terbunuh itu kemungkinan peluru buatan sendiri yang dibekalkan untuk kegunaan sebuah filem lain sebelumnya.

Pihak berkuasa kini sedang menyiasat Seth Kenney, 51, yang ditugaskan sebagai pembekal filem terbabit dengan alatan senjata api tiruan.

Ada kemungkinan alatan dari set filem lain dikitar semula ke set Rust.

Penyiasat kes terbabit kini berusaha mencari maklumat mengenai kematian Hutchins. Setakat ini, belum ada sebarang tuduhan jenayah disabitkan kepada mana-mana pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 11:36 AM