Gambar fail Alec Baldwin. FOTO AFP.
Gambar fail Alec Baldwin. FOTO AFP.
Agensi

Washington: Keluarga Halyna Hutchins, ahli sinematografi filem Rust yang maut di set penggambaran akan menyaman Alec Baldwin walaupun tuduhan jenayah terhadap pelakon itu digugurkan.

Khamis lalu, pendakwa raya di New Mexico menarik balik tuduhan membunuh dihadapi Baldwin yang memegang pistol prop ketika tembakan dilepaskan selepas menerima bukti baharu berkaitan senjata itu.

Peguam kepada ibu bapa dan kakak Hutchins berkata, pelakon itu tidak boleh lari daripada bertanggungjawab atas kematian berkenaan.

Baldwin sudah pun mencapai kata sepakat dengan suami dan anak lelaki Halyna yang berusia 10 tahun.

BBC melaporkan, pada Oktober 2021, Baldwin sedang berlatih menembak di set penggambaran di sebuah ladang berhampiran Santa Fe apabila tembakan dilepaskan yang terkena Hutchins, 42, yang juga kelahiranUkraine dan mencederakan pengarah Joel Souza.

Pelakon itu menafikan menarik picu, walaupun laporan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) kemudian menyimpulkan pistol itu tidak mungkin melepaskan tembakan tanpa picu ditarik.

Baldwin sepatutnya dihadapkan ke mahkamah untuk perbicaraan pada 3 Mei tetapi pada Khamis, pendakwa raya berkata mereka akan menarik balik pertuduhan terhadap pemenang anugerah Emmy itu selepas fakta baharu yang memerlukan siasatan lanjut.

Gloria Allred, peguam yang mewakili ibu Hutchins Olga Solovey, bapanya Anatolii Androsovych, dan kakak Svetlana Zemko berkata pada Jumaat, anak guamnya "tetap berharap" walaupun keputusan pendakwa raya untuk menggugurkan tuduhan jenayah.

"Baldwin mungkin berpura-pura dia tidak bertanggungjawab menarik picu dan mengeluarkan peluru hidup yang menamatkan nyawa Halyna.

"Dia boleh lari ke Montana dan berpura-pura yang dia seorang pelakon dalam filem barat itu tetapi dalam kehidupan sebenar, dia tidak dapat lari daripada hakikat bahawa dia berperanan utama terhadap tragedi ini yang memberi kesan pada kehidupan, katanya dalam keutamaan.

Selepas pengguguran tuduhan itu, Baldwin dikatakan ke Montana bagi menyambung semula pengambaran filem Rust yang tertangguh 18 bulan susulan tragedi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 April 2023 @ 12:10 PM