Persembahan Nabila ketika menyanyikan single baharunya, Putus.
Persembahan Nabila ketika menyanyikan single baharunya, Putus.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi Nabila Razali, 29, meluahkan rasa syukur apabila persembahannya pada program MeleTOP yang bersiaran secara langsung di Astro Ria malam tadi mendapat maklum balas positif.

Nabila berkata, dia terkejut apabila nyanyiannya untuk single terbaharu, Putus mendapat pujian daripada orang ramai yang rata-rata melihat perubahan pada persembahannya itu.

"Kalau dulu saya banyak terima komen negatif daripada positif, tapi sekarang lebih banyak komen positif pula yang diberikan.

"Mungkin orang luar nampak perubahan ketara dalam nyanyian, kerana saya memang tidak henti perbaiki kualiti nyanyian dan kerja. Saya selalu pegang dengan prinsip 'tak mati dek keji, tak hidup dek puji'.  Saya buat semua ini bukan untuk orang lain, tapi diri sendiri.

"Sejujurnya sejak kejadian nyanyian terkucil itu, saya memang tidak berterusan pergi kelas vokal. Saya juga sanggup berhabis wang untuk bayar guru vokal supaya dapat menjadi lebih baik.

"Sebagai manusia kita pasti ada banyak kekurangan. Alhamdulillah, persembahan saya malam tadi dapat memperlihatkan perbezaan kepada penonton sekali gus berjaya meresapkan apa yang diajar oleh guru vokal selama ini," katanya kepada Harian Metro.

Tahun lalu, persembahan nyanyian Nabila menerusi lagu Peluang Kedua  'terkucil' sewaktu menjayakan program Meletop Mega Raya Ria dan serta-merta dia menjadi perbualan warganet. Rata-rata netizen mempertikaikan kemampuan nyanyiannya.

Lebih mengejutkan lagi, persembahan Nabila di pentas Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) pada Mac lalu sekali lagi dikritik apabila dia berterusan 'terkucil lagi' ketika menyanyi secara langsung.

Menurut Nabila, dia mengakui sukar untuk mengatasi masalah gugup ketika membuat persembahan pentas, namun dia tetap mencuba sedaya upaya mengawal kekurangan yang dimiliki itu.

"Jujur cakap nak mengatasi masalah gugup atas pentas memang susah. Lagi pula sekarang ini penyanyi kekurangan tawaran persembahan kerana pandemik Covid-19, jadi makin kuranglah latihan. 

"Kalau dulu boleh dikatakan setiap minggu saya memenuhi tawaran persembahan dan berada dalam zon selesa, tapi selepas hampir setahun tak beraksi dan ditambah pula dengan harapan tinggi untuk single baharu ini, saya makin gemuruh tapi cuba juga buat sebaik mungkin.

"Walaupun tak dapat lawan perasaan gugup itu sepenuhnya, tapi saya cuba perlahan-lahan. Saya yakin berkat usaha keras yang tidak putus dibuat selama ini pasti akan membuahkan hasil untuk saya nanti," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 7:02 PM