Wani Kayrie bersama Fauziah Latiff.
Wani Kayrie bersama Fauziah Latiff.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Biarpun pelawaan diterima dalam tempoh kurang 24 jam kerana menggantikan penyanyi Zizi Kirana yang terpaksa menarik diri berikutan dimasukkan ke hospital, penyanyi Wani Kayrie tetap berjaya membuktikan kemampuannya beraksi di malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34, semalam. 

Wani berkata, peluang keemasan berduet dengan penyanyi popular, Fauziah Latiff di pentas berprestij itu enggan disia-siakan sekali gus menyaksikan persembahan kali  pertamanya pada acara hiburan berkenaan.

"Pada mulanya saya agak gementar juga nak menggantikan Zizi dan berpadu suara dengan Kak Jee (panggilan Fauziah). Ini kerana, saya tidak membesar dengan lagu-lagu popular nyanyiannya, tapi masih tahu beberapa lagu hit itu.

"Ketika saya hubungi Kak Jee untuk maklumkan mengenai pelawaan ini, dia terus memberikan kata-kata semangat dan menyakinkan saya boleh melakukan yang terbaik. 

"Mujur jugalah kami sudah mengenali antara satu sama lain kerana terbabit dengan penggambaran Tahyul selama sebulan di Perlis," katanya yang mengidolakan penyanyi lagu Teratai Layu Di Tasik Madu itu. 

Menurut Wani, dia menganggap rezeki menyanyi di pentas ABPBH 34 adalah hadiah bermakna dalam hidupnya meskipun hanya tercalon untuk 'Top 5' kategori Penyanyi Wanita Popular. 

"Walaupun tawaran ini datang pada saat-saat akhir kerana perlu menggantikan penyanyi lain, tapi saya melihat ia sebagai satu peluang keemasan. 

"Saya pun dah lama impikan untuk buat persembahan di ABPBH dan semalam, adalah persembahan kali pertama saya di acara berprestij itu. 

"Meskipun setiap tahun tercalon dan tahun ini berjaya menembusi 'Top 5', alhamdulillah sebab Allah gantikan juga dengan rezeki membuat persembahan secara langsung," katanya. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 5:12 PM