Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Lagu Bella Ciao yang menjadi runut bunyi siri popular Money Heist versi nyanyian Yuna, 34, mendapat pujian luar biasa daripada peminat tempatan siri berkenaan.

Dalam versi itu, Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Mat Zara'ai diiringi pemuzik Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) dengan susunan muzik lebih gemalai dan mendayu.

Video nyanyiannya dimuat naik di Instagram rasmi platform penstriman Netflix Malaysia bersempena penayangan musim baharu siri Sepanyol kegilaan dunia itu.

Hampir semua komen menyifatkan versi terbabit sangat bagus dan memuji nyanyian Yuna.

Malah, ada yang mengakui versi terbabit lebih meremangkan bulu roma. Tidak dinafikan, lagu Bella Ciao cukup dekat di hati peminat tegar Money Heist.

Justeru, versi baharu terbabit cukup berbeza disifatkan memberi angin baharu untuk lagu asalnya yang rancak.

Video terbabit juga berjaya mendapat lebih 495,000 tontonan, tanda suka lebih 29,500 dan 1,170 komen. Ia sekali gus membuktikan ramai menyukai versi berkenaan.

Siri Money Heist yang memasuki musim kelima sememangnya dinantikan ramai.

Kisah mengenai rompakan besar-besaran di Sepanyol itu memberi impak tersendiri buat peminat di seluruh dunia.

Ia dibintangi Alvaro Morte, Ursula Corbero, Itziar Ituno, Miguel Herran, Jaime Lorente, Pedro Alonso, Esther Acebo, Alba Flores, Darko Peric dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 2:48 PM