Sherie Merlis.
Sherie Merlis.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pelakon Sherie Merlis tidak menjangka banyak pihak termasuk rakan artis dan orang ramai yang mengambil berat mengenai nasib menimpa keluarganya.

Ia susulan tindakan Sherie memuat naik hantaran video yang meminta pertolongan supaya adik perempuannya yang disahkan positif Covid-19 menjalani kuarantin di pusat kuarantin dan bukannya di rumah, semalam.

Adik iparnya dan anak mereka yang berusia 10 yang berusia 10 bulan juga disahkan positif wabak itu dan kini menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin Risiko Rendah Swasta (PKRCS) di Hotel The Royale Raja Chulan, di sini, selama 10 hari.

Sherie berkata, dia juga meminta maaf kerana tidak dapat menjawab panggilan telefon dan membalas mesej.

"Saya mohon maaf tak dapat jawab panggilan. Saya tak sempat baca mesej. Saya minta maaf. Saya terharu, saya ingatkan tak ada kawan. Saya tak menjangka apabila ramai ambil berat sebab saya cuma nak tahu ke mana saya nak merujuk.

"Alhamdulillah terima kasih sangat pada siapa yang telefon dan mesej, insya-Allah saya akan balas," katanya.

Dalam masa sama, Sherie turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan Kumpulan Megaklinik Zahran dan pelakon, Datuk Fizz Fairuz atas bantuan segera yang dihantar.

"Saya nak bagi penghargaan dan terima kasih kepada Kak Long, Abang Long dan pasukan Kumpulan MegaKlinik Zahran, terima kasih sangat-sangat. Juga kepada kawan saya, Datuk Fizz, Allah saja dapat balas. Abah saya pun ucap terima kasih banyak kerana mereka bantu, tak bagi harapan, tapi pergi dan terus tolong.

"Saya tak minta lebih, saya cuma minta kuarantinkan adik saya. Itu saja. Jadi, apabila pasukan mereka datang, cepat saja mereka buat. Kerja mereka lancar, alhamdulillah. Pada saya, niat mereka, jadi ia dipermudahkan.

"Hati saya pun tenang tengok adik saya pergi untuk kuarantin. Itu saja yang saya mahu. Sekurang-kurangnya ia tak menjangkiti ahli keluarga lain. Adik saya pun senang hati sebab dia rasa bersalah, suami dia boleh berjangkit dan ada anak kecil. Alhamdulillah, dia sudah ditempatkan di pusat kuarantin. Terima kasih sangat. Saya hargai. Ahli keluarga saya juga ucapkan terima kasih atas tindakan pantas yang diambil. Penerangan segalanya cukup jelas buat kami di sini untuk jaga diri kami," katanya.

Terdahulu, indivdu dikenali sebagai Abang Long atau Nafidz Razak memuat naik hantaran mengenai bantuan yang diberikan pihak Kumpulan Megaklinik Zahran selepas kisah Sherie itu menjadi tular di laman sosial.

Menerusi video itu, adik Sherie, suami dan anaknya yang positif Covid-19 dibawa menaiki ambulans ke pusat kuarantin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 11:50 AM