PERASAAN ingin mencuba  perkara baharu turut jadi kelebihan  bagi Yoo Yeon Seok.
PERASAAN ingin mencuba perkara baharu turut jadi kelebihan bagi Yoo Yeon Seok.
Georgie Joseph


ANNYEONGHASEYO! Bergelar anak seni semestinya penuh dengan pengalaman dan dugaan. Ia terpulang kepada seseorang artis itu bagaimana untuk mengendalikan rentak perjalanan serta aspirasi terus maju.

Demikian juga corak pendekatan bagaimana yang mereka terapkan sebagai hala tuju dalam karier.

Bagi pelakon Yoo Yeon Seok, dia yakin sifat ingin tahu dalam dirinya yang menjadi kelebihan untuknya memperbaiki diri.

Di matanya, setiap perkara ada jawapan yang harus dicari. Justeru, dia sentiasa dahagakan apa saja pengalaman baharu untuknya terokai serta tidak kisah buang masa dalam mencari penyelesaiannya.

"Saya adalah individu yang memiliki pelbagai persoalan dalam kepala dan ingin tahu banyak perkara. Saya ingin tahu setiap perkara yang tak pernah buat, tempat belum dilawati serta pengalaman belum dirasai.

"Saya juga sentiasa dahagakan pengalaman baharu. Justeru disebabkan itulah saya sentiasa mencari apa lagi perkara baharu yang boleh saya lakukan untuk mencabar kebolehan diri.

"Semestinya, perkara itu adalah hal bukan normal yang saya selalu atau pernah lakukan. Ia termasuk sesuatu aktiviti yang akan membuatkan saya mengambil masa lama untuk mencubanya," katanya.

Buat masa sekarang, tidak lain bidang senilah tempat Yeon Seok menuai segala pengalaman baharu itu. Hakikatnya, dia sentiasa melihat bidang lakonan sebagai medan pengembaraan terbaik buat dirinya.

Baginya, pengembaraan itu termasuk apabila menyentuh mengenai tawaran sesebuah watak. Dia sentiasa menerapkan semangat tinggi dalam memastikan dia puas dengan corak kerja apabila jayakan sesuatu watak.

"Lakonan adalah sebuah laluan pengembaraan yang saya ambil untuk jangka masa cukup panjang. Setiap kali dapat projek dan menerima sesebuah skrip, memang terus wujud perasaan seperti mengembara itu.

"Sebagai seorang pelakon, tiada jawapan yang nyata mengenai bagaimana cara tepat untuk saya berlakon. Hal itu begitu mengujakan saya. Cuma hanya ada satu destinasi akhir, tapi kaedah untuk ke sana tidak tetap," katanya.

Yeon Seok ketika ini cukup dikenali menerusi pembabitannya dalam drama Hospital Playlist 2. Drama terbabit mendapat pujian penonton apabila mengetengahkan ramai wajah baharu serta jalan ceritanya menarik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 6:23 AM