Zara dan Azlee dalam drama Love You Mr Arrogant.
Zara dan Azlee dalam drama Love You Mr Arrogant.
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Drama Love You Mr Arrogant (LYMA) menjadi sohor kini atau 'trending' di laman sosial dan carian Internet apabila ditayangkan semula di TV3, sejak kelmarin.

Drama lakonan Azlee Khairi dan Zara Zya itu pernah ditayangkan lapan tahun lalu di Slot Akasia dan kemudian dipilih mengisi Slot Samarinda ekoran drama Cukup Derita Itu (CDI) yang ditunda siaran buat sementara waktu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Nini Yusof berkata, LYMA drama bersiri popular yang pernah mencipta fenomena besar.

"Drama bersiri lakonan Zara Zya dan Azlee Khairi ini pernah mencipta fenomena besar. Drama ini mempunyai kelompok penonton yang besar dan sentiasa menerima permintaaan tinggi untuk ulang tayang daripada peminat setianya dan berjaya meraih purata 4.6 juta penonton," katanya kepada Harian Metro.

Selain drama itu, nama Zara dan Azlee turut menjadi 'trending' sekali gus membuktikan gandingan pasangan pelakon itu masih meninggalkan kesan pada penonton sehingga kini.

Love You Mr Arrogant adalah karya terbitan Primeworks Studios yang diarahkan oleh Eoo Shuhaini.

Selain Zara dan Azlee, pelakon lain yang membintangi drama ini adalah Hanez Suraya, Saharul Ridzwan, Anzalna Nasir, Norish Karman, Fezrul Khan, Keith Foo dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 10:16 AM