NEELOFA
NEELOFA
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara, Neelofa menjelaskan mengenai hubungannya dengan jenama aksesori antarabangsa Swarovski selepas tamat kontrak sebagai duta jenama itu pada Disember tahun lalu. 

Kenyataan itu ditulis Neelofa menerusi ciapan di akaun Twitternya hari ini. 

"Salam. Kontrak saya bersama Swarovski tamat pada Disember 2020, tetapi, kami masih berhubungan baik dan akan terus kekalkan hubungan ini. 

"Saya harap, penjelasan ini jelas," tulisnya. 

Penjelasan itu menjawab reaksi dan tindakan seorang individu yang baru-baru ini mengaitkan nama serta kes perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) dengan kedudukannya sebagai duta jenama itu.

Individu itu tugas menanda (tag) nama akaun Twitter Swarovski, mempersoalkan sama ada pihak jenama itu akan mengambil tindakan terhadap Neelofa selaku duta atas tindakannya melanggar SOP. 

Swarovski bagaimanapun membalas ciapan individu itu, menjelaskan bahawa mereka tidak lagi bekerjasama dengan pelakon itu. 

Neelofa dan suaminya, Haris Ismail masing-masing  dikenakan kompaun RM20,000 dan RM10,000 kerana melanggar SOP dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) membabitkan majlis pernikahan dan larangan rentas negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 5:54 PM