MATT LAI
MATT LAI
Syafil Syazwan Jefri

 

Kuala Lumpur: Pengarah dan penerbit syarikat produksi Asia Tropical Films Sdn Bhd, Matt Lai tidak menafikan banyak kekangan yang terpaksa dihadapi bagi menjayakan sesuatu penggambaran sepanjang pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Matt ketika dihubungi berkata, sukar untuk pembikin filem menjalankan penggambaran hanya di dalam ruang 'indoor' sahaja selain memikirkan mengenai keselamatan kru serta semua yang terbabit. 

"Apabila kita sekali lagi melalui fasa PKP, industri perfileman memang akan terjejas. Walaupun aktiviti penggambaran dibenarkan di studio tertentu, namun, pembikinan sesuatu karya juga memerlukan penggambaran di lokasi luar (outdoor). 

"Sebagai penerbit saya juga perlu mementingkan keselamatan dan kesihatan semua yang terbabit terutamanya kru kerana kes jangkitan baharu juga semakin meningkat setiap hari," katanya kepada Harian Metro. 

Dalam pada itu, Matt juga meluahkan rasa terkilan apabila SOP untuk industri kreatif sentiasa menjadi antara industri terakhir yang akan digubal. 

"Nampaknya, industri kreatif seperti diabaikan oleh kerajaan. Mungkin kerana kita bukanlah industri asas atau utama. 

"Kami akan sentiasa perlu menunggu beberapa hari selepas sesuatu pengumuman dibuat," katanya. 

Matt juga penerbit eksekutif serta pengarah bersama untuk filem Juang terpaksa beberapa kali menunda aktiviti penggambaran filem itu disebabkan perubahan fasa PKP dan SOP. 

Sehingga kini, filem itu sudah 95 peratus disiapkan dan dihentikan penggambarannya pada 5 Mei lalu selepas kerajaan mengumumkan mengenai PKP 3.0. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Mei 2021 @ 11:56 AM