SITI bersama keluarga.
SITI bersama keluarga.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa menerusi Yayasan Nurjiwa dengan kerjasama pihak Alpha IVF & Pakar Wanita (Alpha IVF) mengajak orang ramai menyertai kempen yang dinamakan sebagai Perfect 10, Perfect Love.

Siti, 42, berkata, ia bersempena ulang tahun Alpha IVF yang ke-10 dan kejayaan mereka dalam menyediakan rawatan kesuburan kepada pasangan yang menghadapi kesukaran untuk hamil.

"Saya adalah salah seorang dalam kalangan mereka yang mengimpikan untuk memiliki zuriat sendiri. Selepas pelbagai cara dan ikhtiar yang dilakukan, saya dan suami bersepakat untuk menjalani rawatan kesuburan in-vitro (IVF). Syukur, selepas beberapa rawatan akhirnya saya berjaya untuk hamil dan kami dikurniakan dua cahaya mata, Siti Aafiyah dan Muhammad Afwa.

"Kempen amal ini mensasarkan pengumpulan dana sebanyak RM500,000 bagi membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik ini mengubah nasib mereka. Terdapat banyak kes di mana anak-anak dilahirkan bukanlah anak yatim piatu tetapi dalam keadaan serba kekurangan dan tidak mempunyai pilihan selain dimasukkan ke institusi seperti rumah anak yatim.

"Menurut statistik, terdapat kira-kira 64,000 kanak-kanak di Malaysia yang tinggal di institusi itu kerana miskin, kurang upaya, cacat mental atau atas sebab perubatan dan lain- lain," katanya.

Siti berkata, kempen itu diharap dapat merealisasikan impian kanak-kanak itu selain memberikan perlindungan yang lebih baik buat mereka.

"Sertai kempen ini bersama saya dan suami dalam merealisasikan impian anak-anak ini untuk memiliki sebuah keluarga yang dapat memberikan kasih sayang dan sokongan emosi, akses pendidikan yang baik, penjagaan kesihatan yang berkualiti dan sokongan serta perlindungan buat mereka," katanya.

Sumbangan orang ramai boleh dibuat sebelum 30 June melalui cek atau tunai ke akaun YAYASAN NURJIWA (Maybank 5144 8610 6455).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 11:53 AM