KERJAYA bilal membawa Ustaz Zoul menceburkan diri dalam bidang nyanyian.
KERJAYA bilal membawa Ustaz Zoul menceburkan diri dalam bidang nyanyian.
Sudirman Mohd Tahir

BAGI penduduk di sekitar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, pasti sudah terbiasa mendengar laungan azan daripada penceramah dikenali Hazizul Masdin sejak 2016 hinggalah sekarang.

Kini, orang ramai bukan setakat mendengar Hazizul atau mesra dengan panggilan Ustaz Zoul, 38, melaungkan azan, tetapi sudah boleh mendengar beliau menyanyi.

Ini adalah realiti dan bukan fantasi kerana Ustaz Zoul sudah melancarkan single pertama yang berjudul Ahlan Ya Ramadan dengan kerjasama komposer Daqmie atau nama sebenarnya, Azmee Abdul Manap.

"Sebenarnya, sewaktu bertemu dengan Daqmie, saya berhasrat nak minta dia buatkan susunan muzik untuk saya buat lagu 'cover' sempena Ramadan. Dia pula mencadangkan supaya saya mengeluarkan single sendiri untuk Ramadan ini daripada buat 'cover'.

"Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, saya tak fikir lama dan terus bersetuju dengan cadangan Daqmie. Lagu Ahlan Ya Ramadan adalah ciptaan sepenuhnya daripada saya, termasuk liriknya," katanya.

Bercerita mengenai pengalamannya merakam lagu di studio rakaman Tarbiah Sentap, Shah Alam, jelas Ustaz Zoul, disebabkan lagu itu ciptaannya maka, tidak ada masalah untuk beliau menghayati sewaktu rakaman dengan bimbingan daripada Daqmie.

Ustaz Zoul menjelaskan, penulisan lirik bukanlah satu perkara baharu kepadanya kerana sebelum ini, dia kerap menghasilkan lirik lagu ciptaan sendiri untuk didendangkan bersama kumpulan Dvision bila mengadakan persembahan.

Ahlan Ya Ramadan yang menampilkan genre nasyid itu adalah lagu yang menjurus kepada irama padang pasir dan berentak rancak bagi memeriahkan suasana Ramadan. Manakala, video muzik lagu berkenaan sudah siap dirakam di sekitar masjid negeri dan suasana padang pasir pula dirakam di Melaka.

"Ahlan Ya Ramadan adalah single solo pertama saya. Sebenarnya, saya adalah anggota dan ketua kumpulan nasyid Dvision, tapi kami belum pernah menghasilkan lagu. Semua lagu ciptaan saya untuk Dvision sekadar dinyanyi ketika persembahan sahaja.

"Alhamdulillah, sebelum keluarkan single solo ini, saya terlebih dahulu berbicara dari hati ke hati dengan sahabat lain dalam kumpulan kerana keputusan ini bukan disebabkan saya mahu keluar daripada Dvision, tapi sekadar nak hasilkan single untuk diri sendiri," katanya.

Ustaz Zoul yang sering menyertai pertandingan nasyid antara sekolah serta tilawah al-Quran semasa remaja dulu, turut menjadikan Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim, vokalis kumpulan Rabbani sebagai idola.

Selain Ustaz Asri, dia juga mengagumi kebolehan Daqmie yang popular dengan lagu Tangis Sebatang Tamar dan pernah menjadi juara Anugerah Nasyid 2015 itu.

"Saya sangat menyanjungi dan meminati arwah Ustaz Asri Ibrahim. Arwah banyak memberi tunjuk ajar kepada saya sewaktu menyertai rancangan realiti TV dulu sebagai finalis program Akademi Nasyid TV9, pada 2008. Arwah banyak beri inspirasi kepada saya untuk bernasyid dan memahami tentang kriteria, imej dan tujuan kita bernasyid.

"Selain Ustaz Asri, saya juga meminati Daqmie kerana kekuatan vokal yang dia ada membuatkan saya teringin dan berhasrat untuk menjadi sepertinya. Daqmie memiliki vokal yang padu, jelas dan lebih mudah didengar dan difahami oleh orang yang mendengar," katanya.

Selain tugas hakikinya sebagai bilal, Ustaz Zoul juga adalah tenaga pengajar dan Ketua Pegawai Eksekutif untuk Akademi Muazzin, Maulana Edutainment dan Zoul Creative Studio serta kerap dipanggil menjadi juri untuk pertandingan nasyid dan sebagainya.

Akademi Muazzin yang berpusat di Shah Alam itu digerakkan bagi memberi ilmu dan mencungkil bakat baharu serta menggilap potensi sedia ada agar menjadi seorang Muazzin yang berkualiti.

Ustaz Zoul sudah berkahwin dengan Norazhrina Abdul Rashid, 34, dan mempunyai empat cahaya mata iaitu Muhammad Zulhusni Alfaruqi, 11; Muhammad Zulfahmi Alfarabi, 10; Aufa Nasuha, 7; dan Auna Tihani, 5.

"Boleh dikatakan setiap kali saya mengadakan ceramah, misalnya bab azan termasuk, bab motivasi pelajar, memang saya akan selitkan dengan persembahan lagu-lagu nasyid.

"Saya akan pilih lagu-lagu yang berkaitan, kalau cerita pasal Maulidur Rasul saya akan bawakan lagu berhubung kelahiran dan kebaikan Nabi Muhammad SAW, apakah ajaran yang Nabi bawa. Lagu-lagu yang berkaitan akan saya nyanyi untuk menguatkan lagi apa yang kita sampaikan dalam ceramah itu," katanya.

Bagi Ustaz Zoul, beliau percaya nyanyian juga merupakan salah satu cabang untuk menarik perhatian orang ramai dan masyarakat untuk mendekati agama Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 6:20 AM