GAMBAR Hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR Hiasan. FOTO arkib NSTP
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan suntikan vaksin diberikan terlebih dulu kepada golongan selebriti.

Presidennya, Zed Zaidi berkata, kerajaan sepatutnya menggunakan pengaruh yang dimiliki golongan itu bagi mendidik masyarakat mengenai pengetahuan serta kebaikan vaksin Covid-19.

"Jika kita lihat negara luar bijak memanfaatkan pengaruh yang dimiliki selebriti mereka untuk membantu dalam berkongsi kebaikan pengambilan vaksin kepada masyarakat.

"Justeru, saya cadangkan kepada kerajaan turut melakukan perkara sama. Seniman sedia bekerjasama dengan kerajaan bagi menjadi barisan hadapan untuk membantu dari sudut kempen vaksinasi Covid-19 melalui media sosial selebriti yang terpilih.

"Bagi saya, kalau kerajaan tak gunakan pengaruh yang ada pada artis kita, rugilah. Kita ambil contoh paling dekat seperti di Indonesia, mereka melantik selebriti sebagai ikon dan individu terawal untuk menerima vaksin," katanya.

Menurut Zed, pada masa sama dia turut memohon kerajaan mempertimbangkan kekerapan ujian calitan yang terpaksa dilakukan golongan selebriti setiap kali memulakan penggambaran.

"Seniman terima banyak aduan daripada artis terutama pelakon yang mereka perlu melakukan banyak kali ujian calitan. Apabila dapat banyak tawaran berlakon, banyak kali juga kena buat ujian calitan.

"Kami harap kerajaan dapat kurangkan prosedur operasi standard (SOP) itu bagi meringankan beban mereka untuk berkarya. Ada yang sampai kata tak terdaya nak buat ujian calitan banyak kali," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 11:48 AM