ESTRANGED hasil Tujuan untuk mengangkat semangat masyarakat.
ESTRANGED hasil Tujuan untuk mengangkat semangat masyarakat.
Georgie Joseph

SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, kumpulan Estranged giat menambah usaha menggunakan nama mereka untuk tujuan kebaikan.

Memfokuskan golongan kurang bernasib baik, pelbagai inisiatif dilakukan demi berbakti kepada umum.

Paling ketara, hala tuju karya kumpulan dianggotai Rich Gimbang selaku penyanyi, Nor Hanafi (gitar utama) dan Din Hormatov (gitar) ini semakin terarah kepada membantu masyarakat.

Demikian juga pendekatan disuntik terhadap lagu baharu berjudul Tujuan. Mengambil kira situasi pandemik Covid-19 yang melanda, ia membuka mata Estranged untuk lebih prihatin.

Menurut Rich, dia tersentuh dengan kisah duka yang menyelubungi masyarakat termasuk kenalan terdekatnya.

Justeru, dia percaya penghasilan lagu itu adalah inisiatif penting untuk mengembalikan semangat mereka.

"Setiap manusia teruji dengan pelbagai masalah dalam kehidupan. Ada sesetengah pihak kehilangan sumber pendapatan, ahli keluarga terpisah berbulan-bulan dan ketidakpastian serta kebimbangan kian meruncing.

"Lagu Tujuan membawa mesej mendalam di mana setiap insan perlu kuat, sabar dan tabah mengharungi saat genting mahupun sukar. Dalam berdepan fasa sukar dan kompleks, kadang-kadang kita dapat melihat tujuan dan potensi diri yang tidak pernah kelihatan sebelum ini.

TERUS rancak merancang untuk adakan projek amal.
TERUS rancak merancang untuk adakan projek amal.

"Saya banyak mendengar cerita mengenai sahabat dan ahli keluarga yang menghadapi masalah kemurungan akibat kesempitan hidup. Oleh itu, saya ingin melakukan sesuatu yang boleh memberi impak positif kepada masyarakat.

"Saya yakin masyarakat sekeliling memerlukan sokongan dan dorongan dalam hidup ini. Semangat ini sangat perlu untuk disalurkan sesama kita supaya terus mencari tujuan hidup dengan positif," katanya.

Lagu Tujuan tercetus selepas Estranged merancang untuk melancarkan siri jelajah membabitkan lokasi di Sabah, Sarawak dan Indonesia tahun lalu.

Mereka juga sudah membeli sebuah bas khas untuk kegunaan projek itu. Tetapi, hasrat itu tergendala berikutan penularan Covid-19 sejak awal tahun lalu, sekali gus membantutkan perancangan mereka.

Rich mengakui mereka terkilan apabila terpaksa melupakan projek itu buat masa sekarang.

"Kami memang kecewa. Namun, kami menemui kekuatan dan matlamat baharu terutama selepas menyedari banyak pihak yang terkesan akibat pandemik ini.

"Lantas kami jadikan platform berkarya sebagai pengganti kepada kekecewaan itu. Kami berharap mampu membangkitkan semangat masyarakat dalam mengharungi dugaan hidup menerusi lagu Tujuan," katanya.

Estranged juga yakin sekarang masa terbaik untuk menumpukan perhatian kepada usaha khidmat sosial terutama kepada rakyat Sabah dan Sarawak.

FRANCISCA antara yang terbabit dalam muzik video Tujuan.
FRANCISCA antara yang terbabit dalam muzik video Tujuan.

Misi yang dimulakan sejak 30 Ogos tahun lalu itu juga disifatkan titik permulaan terbaik.

Kumpulan ini pernah mengadakan konsert bagi mengumpul dana untuk menubuhkan pusat internet di Kampung Bomboi, Keningau, Sabah. Sebanyak 20 peratus daripada hasil jualan cendera hati turut disalurkan kepada projek khidmat masyarakat di sana.

Estranged turut membina sebuah pusat komuniti di Tambunan dan merancang mengadakan festival petani pertama di Sabah. Mereka berhajat untuk melaksanakan projek itu sejurus tamatnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Buat masa sekarang, mereka kembali menumpukan untuk menghasilkan lagu baharu. Mereka juga mempunyai matlamat untuk menghasilkan satu lagu setiap bulan dan selain terus meningkatkan kualiti hasil kerja mereka.

Lebih menarik, Estranged turut mendapatkan khidmat daripada nama hebat untuk terbabit dalam muzik video Tujuan antaranya Miss Universe Malaysia 2020, Francisca Luhong James serta pejuang muzik Sape, Alena Murang dari Sarawak.

Ini termasuk beberapa penyanyi tempatan di Sabah yang popular seperti Jayasamry Jaissen Buntang dan Othneil Luke Suinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mac 2021 @ 6:30 AM