Bella Astillah
Bella Astillah
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah berkongsi mengenai adiknya, Didi Astillah yang menerima ugutan daripada individu tidak dikenali yang menghantar gambar sedang memegang pisau dengan kata-kata kesat.

Bella yang juga isteri kepada penyanyi, Aliff Aziz itu berkongsi perkara berkenaan menerusi hantaran dimuat naik di Instagram miliknya.

"Astaghfirullahalazim. Terkejut bila nampak DM (mesej) ini. Dengan kata-kata kesat dan ugut saya macam ni. Tolong jangan fikir saya tak boleh ambil tindakan dan awak suka-suka saja bagi saya kata-kata macam ni," tulisnya.

Dalam tangkap layar yang dimuat naik Bella, individu itu menggelarnya sebagai artis sampah dan murahan di samping sekeping gambar sedang memegang pisau.

"Eh perempuan. Jangan ingat kau seksi sana sini, kau kaya boleh berlagak! Hidup tak lama tau. Kau artis sampah! Murahan!" tulis individu itu.

Usaha Harian Metro untuk mendapatkan komen daripada Bella gagal kerana nombor telefonnya tidak dapat dihubungi.

Hantaran Bella di Instagram itu menerima lebih 12,000 tanda suka di samping ratusan komen daripada pengikutnya dan rakan-rakan artis.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mac 2021 @ 3:39 PM