ROSLAN bersama isterinya mengusahakan perniagaan kecil untuk pendapatan keluarga.
ROSLAN bersama isterinya mengusahakan perniagaan kecil untuk pendapatan keluarga.
Norhayati Nordin

MESKIPUN sudah meninggalkan kerjaya lakonan kerana faktor usia dan masalah kesihatannya, pelakon veteran, Roslan Salleh, 64, tetap gigih berusaha mencari rezeki buat keluarga.

Tidak selesa hanya duduk diam berehat di rumah sahaja, Roslan masih terus menjalankan perniagaan kecil-kecilan yang aktif diusahakannya sejak beberapa tahun lalu.

Sekalipun kini negara berhadapan penularan Covid-19 yang belum menunjukkan tanda kes menurun, Roslan tetap berfikir rasional dan melihat positif.

Katanya selagi nyawa dikandung badan, hidup perlu diteruskan. Malah, dugaan yang diberikan Allah ini untuk melatih kita semua sabar, cekal dan tabah.

"Perancangan Allah adalah terbaik. Cuma, sekarang keadaan Covid-19 ini belum reda dan kita kenalah berhati-hati untuk menjaga keselamatan diri serta keluarga.

"Keluar rumah bila perlu sahaja dan ada urusan kerja. Malah, terus ikut saranan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan ikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.

Berbicara mengenai perniagaannya, Roslan berkata dia bersama isteri dan anak ada menjual produk makanan seperti sambal lado, daging dendeng dan sambal hitam yang dimasak sendiri. Selain itu, dia juga menjual kerepek ubi, kerepek bawang, kerepek nangka dan kerepek ubi pedas.

Katanya, bagi sesiapa yang berminat nak beli, boleh buat tempahan melalui mesej di media sosial seperti Instagram dan Facebook. Harga sangat berpatutan dan di luar Melaka, caj pos dikenakan.

"Berniaga ini, saya dah terbiasa dan bolehlah membantu menampung pendapatan keluarga. Setakat ini, alhamdulillah sambutan diterima pun baik.

"Bagi saya, berniaga memang kena buat. Kalau tak berniaga macam mana pula? Tapi, sikit-sikit sahajalah dan syukur juga mampu membantu pendapatan keluarga," katanya yang menetap di Masjid Tanah, Melaka.

Ditanya juga mengenai kerinduan terhadap bidang lakonan, Roslan yang kali terakhir berlakon sekitar empat tahun lalu, tidak menafikannya. Namun, katanya cukuplah rasa rindu itu hanya disimpan di dalam hati sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2021 @ 6:30 AM