VANESSA salur kesakitan dalam lagu Putus.
VANESSA salur kesakitan dalam lagu Putus.
Georgie Joseph


MAKIN mencipta nama, selepas meraih perhatian menerusi program The Masked Singer Malaysia (TMSM), Vanessa Reynauld terus mengorak langkah sebagai penyanyi.

Menyarung kostum Rajah Brooke dalam program itu, gadis berusia 20 tahun ini sekarang muncul dengan lagu baharu berjudul Putus.

Tidak dinafikan, vokal penyanyi kelahiran Klang, Selangor ini cukup memukau apalagi mendendangkan lagu berentak balada. Bukan setakat merdu, tetapi kelunakan suaranya menjadi kelebihan untuk menyuntik jiwa dalam setiap lagu dinyanyikan. Demikian juga untuk lagu Putus yang dirakamnya ini.

Lagu Putus ciptaan komposer tersohor, Farouk Roman dan lirik ditulis Amylea Azizan itu, jelas menyerlahkan kemantapan laras vokal Vanessa.

Meskipun ceritanya bukanlah ditulis mengikut pengalaman penyanyi itu sendiri, ia tidak penghalang kepada penyampaian yang cukup mendayu daripada Vanessa.

Mana tidaknya, dia sendiri merasakan kesakitan dialami pasangan bercinta dalam lirik lagu berkenaan. Biarpun tiada kaitan dengan dirinya, Vanessa menyifatkan lagu Putus adalah sebuah hasil tulisan yang begitu mendalam.

Menurutnya, tiada siapa inginkan percintaan yang menyakitkan dan seseorang patut berhak mendapat pasangan jauh lebih bagus.

"Lagu Putus mengisahkan pasangan bercinta yang menempuh turun dan naik dalam hubungan mereka. Karya lagu ini bercerita mengenai

hubungan yang sudah tawar dan sangat toksik. Ini disebabkan sebelah pihak melakukan sesuatu hal yang mengakibatkan mereka berdua sudah tidak boleh bersama meskipun masih saling mencintai.

"Apa yang saya nak pendengar belajar daripada lagu ini, adalah jika anda terperangkap dalam hubungan toksik, jangan teruskan. Hal itu hanya menambah derita sendiri semata-mata kerana percaya masih sayangkan dia dan tidak mungkin bertemu yang lebih baik. Tinggalkan sahaja, kerana kamu berhak mendapat seseorang yang jauh lebih menghargai," katanya.

Yang pasti, Vanessa tidak mengambil remeh proses pembikinan lagu ini dan meletakkan sepenuh jiwa untuk menghidupkannya. Biarpun tidak terbabit secara langsung dengan penulisan lagu itu, baginya tugas sebenar perlu digalas adalah tidak lain untuk mendalami serta menjiwai karya berkenaan.

"Untuk lagu ini, tanggungjawab saya hanya untuk menyanyikan sahaja dan tidak terbabit pun dalam proses pembikinannya. Apa yang pasti, lagu ini memang sudah siap terlebih dulu sebelum diberikan kepada saya. Sebaik saya dengar, belajar melodi, dan rakam lagu, ternyata prosesnya mengambil masa selama dua hari.

"Saya cuma belajar plot cerita dalam lagu ini dan menyampaikan dengan pengalaman yang pernah saya lihat sendiri dalam perhubungan orang lain. Saya sendiri tidak pernah melalui pengalaman sebegini," katanya.

Vanessa juga tidak menafikan dia perlu berdepan cabaran tertentu untuk melunaskan lagu ini. Menurutnya, bahagian paling susah dalam lagu Putus adalah untuk menyampaikannya dengan sepenuh jiwa. Ini kerana, ia membawa maksud yang sangat berat manakala dirinya sendiri tidak pernah mengalami kisah cinta melukakan itu.

"Saya dapat salurkan kesedihan itu menerusi pengalaman melihat sendiri hubungan orang terdekat. Agak mencabar jugalah memandangkan, ia bukan daripada pengalaman sendiri. Memang susah untuk saya memberi corak emosi yang tepat, namun tetap berusaha menyanyikan lagu Putus ini sebaiknya," katanya.

Lagu Putus juga adalah antara runut bunyi untuk drama Takdir Yang Tertulis arahan pengarah Shahrulezad Mohameddin. Drama dibintangi Nazim Othman, Nad Zainal, Datin Elvina Mohamad, dan Alvin Chong ini bakal mengisi slot Samarinda TV3.

Vanessa mulai mencuri perhatian dalam bidang seni suara selepas mewakili Malaysia dalam† pertandingan Water Cube Cup Worldwide Chinese

Singing Competition di Beijing, China, yang mana dia mendapat naib juara. Penyanyi ini turut mencuba nasib dalam pertandingan Astro Ceria Megastar.

Tidak ketinggalan, pembabitannya dalam program TMSM begitu membuka mata lebih ramai peminat hiburan tempatan dengan kemantapan vokalnya hingga dia berjaya mendapat naib juara.

Corak nyanyiannya yang bertaraf antarabangsa turut mendapat perhatian ramai pengikutnya di media sosial. Dengan jumlah pengikut lebih 74,000 di Instagram, dia turut popular di TikTok.

Sehubungan itu, lagu Putus kini boleh didapatimenerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 6:22 AM