SEMAKIN mendapat tempat di hati peminat hip hop tempatan.
SEMAKIN mendapat tempat di hati peminat hip hop tempatan.
Georgie Joseph


PENYANYI hip hop Asyraf Nasir atau ASYRFNSIR nampaknya semakin ligat berkarya dengan mengetengahkan isu semasa dalam lagunya.

Ternyata, dia mahu karyanya lebih bermutu daripada segi penyampaian mesej penting.

Tampil dengan lagu baharu berjudul Keliru, ASYRFNSIR nyata turut mengambil serius mengenai apa yang berlaku dalam masyarakat. Bukan sekadar tampil dengan mesej ringan, baginya lagu adalah wadah berguna mendidik pendengar.

Bekerjasama dengan Jann menghasilkan lagu terbabit, jejaka kelahiran Kuala Lumpur itu berharap masanya akan tiba untuk dunia spesifiknya, Malaysia mencapai kemakmuran diimpi. Bukannya keliru, dengan ketidakpastian yang menimpa tahun ini.

"Hampir tiga dekad, rakyat Malaysia menanti-nantikan tahun 2020 selepas tercetusnya Wawasan 2020. Namun apabila tahun itu tiba, akhirnya lain yang diharapkan, lain pula terjadi.

"Daripada tahun yang sepatutnya membawa kemakmuran, 2020 berubah menjadi tahun yang penuh dengan ketidakstabilan. Selain daripada pandemik Covid-19 yang melanda, ketidakstabilan politik dan ekonomi turut terkesan.

"Ia berlaku di serata dunia, membuatkan kita semua berada dalam keadaan huru hara. Semua celaru, semua keliru. Adakah kita akan pulih semula dalam masa lagi dua bulan?, enam bulan?, dua tahun?" katanya.

Menurutnya, banyak lagi kesan lain yang membuatkan ideanya tercetus untuk menterjemah hal itu dalam lagu Keliru. Kepayahan serta situasi mengenang nasib yang berlaku, sememangnya sangat mengelirukan.

Ditambah pula dengan pelbagai penyebaran maklumat yang tidak terkawal di internet. Sukar untuk masyarakat membezakan apa atau siapa lagi yang boleh dipercayai, selain pihak tidak bertanggungjawab pun makin berleluasa.

ASYRFNSIR mahu pendengar serap mesej positif dalam Keliru.
ASYRFNSIR mahu pendengar serap mesej positif dalam Keliru.

"Berita palsu di alam maya juga memberi lagi ruang untuk kekeliruan tersebar dalam kalangan masyarakat. Ramai yang tidak pasti dengan nasib mereka ketika ini, sama ada dari segi kesihatan mahupun kerjaya.

"Ini adalah era kekeliruan sejagat, inilah yang cuba saya sampaikan menerusi lagu Keliru," katanya.

Meskipun lagu itu barangkali kedengaran agak berat dan serius, ASYRFNSIR berharap ia membuka mata serta perspektif dalam diri pendengar. Bukan sekadar untuk hiburan, penting untuk mereka mendalami mesej tersiratnya.

"Saya berharap lagu ini mendapat sambutan positif pendengar. Semoga lagu Keliru ini dapat membantu menenangkan hati mereka yang gusar dalam menghadapi suasana ketidaktentuan ketika ini.

Anda tidak berseorangan, kita semua pun keliru. Semoga mereka mengambil sudut positif daripada lagu ini," katanya.

Sejak muncul juara RapStar Era pada Mac lalu, ASYRFNSIR perlahan-lahan mencipta nama dan semakin mendapat tempat di hati peminat arena hip hop tempatan. Melancarkan lagu pengenalannya berjudul Virus beberapa bulan lalu, hasilnya sangat memberangsangkan.

Lagu hasil ciptaan SonaOne itu mendapat sambutan positif peminat, di mana muzik video lirik rasminya berjaya mencecah lebih 623,000 tontonan di YouTube. Manakala di Spotify, Virus turut dimainkan lebih 133,000 kali sejak dilancarkan pada April lalu.

Sebelum melakar nama dalam industri muzik tempatan, ASYRFNSIR pernah mencuri perhatian sebagai peserta dalam musim kedua program 16 Baris. ASYRFNSIR turut berkolaborasi dengan MFMF dan Ili Ruzanna untuk lagu Pixel yang dilancarkan pada Ogos lalu.

Lagu Keliru yang diterbitkan Universal Music Malaysia sudah boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox Apple Music dan video muzik juga akan ditayangkan di saluran YouTube rasminya bermula semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2020 @ 6:15 AM