JUDE Law (kanan) bersama Johnny Depp.
JUDE Law (kanan) bersama Johnny Depp.
Agensi

Los Angeles: Pelakon watak Albus Dumbledore dalam filem Fantastic Beast : The Crimes of Grindelwald, Jude Law tak terfikir Johnny Depp yang membawa watak Gellert Grindelwald diminta berundur oleh Warner Bros untuk membawa itu dalam Fantastic Beasts 3.

Law berkata, Depp sudah sinonim dengan watak itu sejak awal francais Fantastic Beasts pada 2016.

"Depp sebenarnya sudah menyelesaikan penggambaran untuk sehari. Saya rasa, dia undur diri atas keputusan sendiri," katanya.

Menurutnya, francais Fantastic Beasts adalah salah satu projek terbesar yang pernah dibintanginya. Bagaimanapun, dia dan barisan pelakon lain akur dan menghormati keputusan studio Warner Bros.

"Dalam francais seperti ini, studio dan penerbit yang membuat keputusan besar dan muktamad. Kami hanya perlu menghormatinya," katanya.

Depp sudah menyelesaikan sehari penggambaran filem itu di London pada 20 September lalu.

Bagaimanapun, dia dilaporkan tetap menerima gaji penuh daripada Warner Bros walaupun tidak lagi terbabit dalam filem itu.

Difahamkan, Depp kemungkinan akan tetap mendapat gaji penuh kerana terikat klausa dalam kontrak yang disebut sebagai 'pay-or-play'.

Klausa itu menyebut Deep wajib mendapat gaji penuh walaupun filem tidak jadi dihasilkan atau jika dia dipecat. Kontrak seperti itu adalah lumrah bagi pelakon kelas A seperti Depp.

Terdahulu, kekalahan Depp dalam perbicaraan kesnya dengan bekas isteri, Amber Heard dilaporkan menjadi punca namanya digugurkan daripada terus terbabit dalam penggambaran Fantastic Beasts 3.

Keputusan Mahkamah Tinggi London memihak kepada Amber berkenaan tuduhan dia dikasari Depp sepanjang tempoh perkahwinan mereka. 

Sementara itu, Mads Mikkelsen dilaporkan berada dalam senarai paling atas sebagai calon pengganti Depp untuk watak Gellert Grindelwald.

Difahamkan, dia adalah pilihan pengarah Fantastic Beasts, David Yates. Fantastic Beasts 3 dijadualkan ditayang pada 15 Julai 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2020 @ 1:25 PM