Sissy bersama bapanya.
Sissy bersama bapanya.
Syafil Syazwan Jefri

 

Kuala Lumpur: "Penampilan anak aku dikecam hebat di ABPBH. Akulah penyebabnya, tapi aku tetap bangga, dia dah lakukan yang terbaik."

Itu luahan bapa penyanyi Sissy Imann, Mohammad Kamil Moustaffa selepas penampilan anaknya dikecam hebat ketika menjadi pengacara karpet merah dan belakang pentas Anugerah Bintang Popular BH ke-33 (ABPBH 33), baru-baru ini.

Kamil menerusi akaun Instagram berkongsi mengenai cerita di belakang tabir proses perkembangan karier anaknya itu yang tidak pernah menerima tajaan.

"Biarlah orang kutuk pun, aku sedar diri, aku bukan sesiapa. Aku seorang bapa yang hanya melakukan tanggungjawab supaya anak aku meraih kejayaan. Untuk itu, aku tetap akan lakukan sehabis baik selagi aku diperlukan dan selagi kudrat aku masih ada.

"Tak ada hamba Allah yang nak taja dan yang benar-benar ambil tahu pun. Baik busana mahupun kelengkapan dirinya untuk berada di pentas kecil, mahupun di tempat gah. Aku bukan jenis yang meminta-minta," tulisnya.

Menurut Kamil, dia bertanggungjawab menghasilkan sendiri perincian pada penampilan Sissy sejak awal kemunculannya.

"Dari awal, aku sendirilah yang berusaha bersengkang mata untuk jahitkan batu perhiasan di baju. Entah berapa ribu kali jari ini tertusuk jarum. Mata ini bukanlah terang sangat dah. Melecur juga kena gam panas mereka subangnya. Dandankan rambut, sarungkan baju, betulkan segalanya.

"Terbakar dan melecur dek terkena panas alat keriting dan pemanas rambut bila mendandan rambutnya. Aku bukanlah profesional yang tahu segalanya, tapi aku tetap melakukannya demi dia, anak aku, sebaik mungkin.

"Setiap kali dia beraksi, aku akan sentiasa mahu berada bersama untuk memastikan penampilannya elok di mata aku. Sekurang-kurangnya, dia berada dalam keadaan sopan dan tertib sampaikan kadang-kadang, aku lupa aku ini bertongkat ke sana ke mari," katanya.

Kamil juga mengambil peluang itu mengucapkan terima kasih kepada penyokong setia Sissy yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan sehingga ke hari ini.

"Jutaan terima kasih aku nak ucapkan kepada penyokong tegar anak aku ini. Teruslah menyokong ya, tanpa berbelah bagi dan terima kasih juga kepada yang menghentam, menghina dan mencerca kerana kekalkan kami untuk sentiasa merendah diri serta menyedarkan kami untuk sentiasa berdiri di bumi nyata. Wallahualam," tulisnya.

Sissy dikecam hebat apabila gaya rambut dan busana yang ditampilkan mengundang kecaman netizen yang menyifatkan penampilan itu serba tak kena.

 

Berita berkaitan

Sissy Iman 'Rihanna' yang tak menjadi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2020 @ 4:32 PM