BAHIYYA Haneesa ingin bangkit semangat wanita menerusi Percaya.
BAHIYYA Haneesa ingin bangkit semangat wanita menerusi Percaya.
Georgie Joseph

Bagi memartabatkan lagi pemerkasaan wanita, kumpulan Bahiyya Haneesa menjadikan lagu terbaharu mereka berjudul Percaya sebagai wadah menyampaikan mesej penting itu.

Pada era ini, aspek pemerkasaan wanita perlu dilakukan berterusan tanpa wujud perasaan golongan hawa sering ditindas.

Kumpulan accapella dianggotai Afi, Bella, Bonn, Fatin, Nina, Syasya, Suha dan Wafa ini ingin wanita sedar bahawa segala impian mampu dicapai jika percaya terhadap diri sendiri.

Hakikatnya, setiap wanita tidak mengira latar belakang mereka layak untuk mencapai kehidupan yang diimpikan sekiranya mereka bekerja keras.

Menurut anggotanya Bonn, itu mesej penting mahu disampaikan dalam lagu ini.

"Sesuai dengan tajuk lagu, Bahiyya Haneesa ingin semua wanita percaya pada diri sendiri, percaya bahawa setiap halangan yang dilalui akhirnya akan memberikan hasil yang diingini.

"Kita semua tahu tiada apa yang senang dalam dunia ini. Semuanya perlukan usaha. Dan bila gagal, jangan pernah sekali pun kita putus asa. Jadikan kegagalan itu penguat semangat untuk kita terus bergerak ke hadapan dan berjaya.

"Lebih penting, wanita perlu memberi sokongan antara satu sama lain. Wanita adalah inspirasi dan semua wanita layak dihargai tanpa mengira siapa pun mereka. Dan selayaknya, wanita perlu memperkasakan sesama wanita setiap masa," katanya.

Idea untuk lagu yang penuh jiwa sebegini tentunya bukan mudah direalisasikan dan hal itu diakui mereka.

Memandangkan kualiti serta keserasian dengan karakter kumpulan menjadi keutamaan, mereka perlu memilih lagu yang benar-benar mampu meyakinkan ramai.

Namun, menurut semua anggota kumpulan Bahiyya Haneesa, karya lagu Percaya berjaya menambat hati mereka sebaik mendengar demo asal.

"Sebenarnya agak lama untuk kami jumpa lagu yang betul-betul paling tepat. Kami diberi demo oleh beberapa komposer yang berkualiti, tetapi lagu Percaya benar-benar menambat hati kami.

"Kami juga banyak membuat rujukan beberapa lagu pemerkasaan wanita yang ada dan cuba sesuaikan dengan jiwa dan karakter diri. Lebih kurang tiga bulan juga kami ambil masa untuk menyiapkan lagu ini.

"Alhamdulillah, dengan hasil kerjasama antara Bahiyya Haneesa sendiri bersama Sony Music, penerbit, pengarah dan produksi, akhirnya terhasil lagu Percaya. Bonn menjadi tunjang utama kami untuk menyiapkan melodi dan liriknya," kata Wafa pula.

Menyentuh mengenai aspek teknikal, ketelitian serta ketepatan setiap baris nyanyian perlu dilunaskan dengan sebaiknya.

Apatah lagi, lagu Percaya ini disulami dengan melodi yang sudah cukup kuat.

Justeru, mereka perlu setarakan nyanyian seiring kekuatan rentaknya juga.

"Untuk rakaman lagu Percaya, kali ini agak mencabar kerana lebih banyak pembahagian suara dan harmoni yang kami perlu lakukan. Kami menghabiskan lebih kurang 18 jam dalam studio untuk memastikan ia betul-betul sempurna dan semua orang berpuas hati dengan lagu ini.

"Untuk pembahagian suara, kami lakukan bersama kerana benar-benar mahu memastikan bahagian solo yang dinyanyikan sesuai dengan suara kami. Lagu Percaya amat berbeza dengan karya kami sebelum ini.

"Meskipun pembikinannya tak dinafikan agak sukar, tapi ia benar-benar berbaloi. Kami berjaya masukkan banyak elemen termasuk bahagian rancak, nada tinggi, rendah, bahagian rap dan campuran bahasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2020 @ 6:45 AM