PENYANYI, Siti Sarah memberi kata kata semangat kepada Alina Hassan yang menjalani rawatan mata di Prof Muhaya Eye & LASIK Centre. FOTO ROHANIS SHUKRI
PENYANYI, Siti Sarah memberi kata kata semangat kepada Alina Hassan yang menjalani rawatan mata di Prof Muhaya Eye & LASIK Centre. FOTO ROHANIS SHUKRI
Najiy Jefri


PENYANYI Alina Hassan, 52, gagal menahan air matanya selepas bertemu penyanyi Siti Sarah yang menaja pembedahan mata kanannya akibat katarak.

Alina berkata, dia bersyukur atas rezeki yang diterimanya memandangkan dia sebelum ini turut berusaha mengumpul wang demi memulihkan masalah mata kanan yang dihadapi sejak sembilan tahun lalu.

"Saya seakan tidak percaya dan tidak terkata. Ketika dapat mesej daripada pihak pengurusan Sarah, saya tanya betul ke? Sehinggakan saya turut tanya pada rakan, betulkah ini? Sarah memang suka tolong orang, tengoklah rezekinya.

"Ya Allah. Saya rasa bernasib baik dapat kenali Sarah walaupub hanya menerusi program Mentor Otai tidak lama dulu.

"Rasa bersyukur sangat, gembira tak terkata rasanya. Saya memang ada perancangan untuk ubati masalah katarak ini dan sedang mengumpul wang," katanya ketika ditemui di Prof Muhaya Eye & LASIK Centre, semalam.

Menurut juara program Sinaran Pasport Kegemilangan 1996 dan pemenang tempat ketiga Mentor Otai 2018 ini, dia mengalami masalah terbabit pada kedua-dua bahagian mata dan sudah pun melakukan rawatan pembuangan katarak pada mata kirinya tiga tahun lalu.

PENYANYI, Siti Sarah menaja rawatan mata Alina Hassan di Prof Muhaya Eye & LASIK Centre. Turut serta pakar bedah mata, Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad. FOTO ROHANIS SHUKRI
PENYANYI, Siti Sarah menaja rawatan mata Alina Hassan di Prof Muhaya Eye & LASIK Centre. Turut serta pakar bedah mata, Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad. FOTO ROHANIS SHUKRI

"Kedua-dua belah mata saya alami katarak sekitar tahun 2011 lalu ketika bertugas sebagai pengawal keselamatan di KLCC.

"Ketika itu baru perasan mata saya ada selaput. Makin lama makin teruk sehinggalah saya menyertai program Kilauan Emas.

"Bila ada rezeki lebih, saya lakukan proses membuang katarak di mata kiri pada tahun 2017," katanya.

Sementara itu, Sarah yang turut hadir menemani Alina pada sesi awal rawatan turut mendoakan agar proses pembedahan dipermudahkan.

"Saya hanya berharap dan mendoakan agar segala urusannya dipermudahkan. InsyaAllah jika penglihatannya lebih baik, banyak perkara lain yang dia boleh lakukan selepas ini. Saya doakan moga dia berjaya dunia akhirat.

"Saya sebak sebab bila melakukan sesi ini dan bertemu dengan Prof Muhaya, kita semua yang berada di sini mungkin akan lebih sedar, betapa pentingnya sepasang mata.

"Dengan matalah kita nak membaca ayat suci al-Quran serta melakukan segala kebaikan yang lain.

"Saya doakan prosedur pembedahannya minggu depan dipermudahkan dan moga kesihatannya juga bertambah baik, insyaAllah," katanya.

Proses rawatan untuk membuang katarak pada mata penyanyi berkenaan akan dilakukan minggu depan.

Terdahulu, kisah Alina yang juga Juara program Sinaran Pasport Kegemilangan 1996 dan pemenang tempat ketiga Mentor Otai 2018 tular apabila menghuni bilik kecil di sebuah rumah kedai di Setapak, Kuala Lumpur sejak dua tahun lalu.

Dia yang sudah lama memohon untuk menyewa rumah PPR akhirnya menerima berita gembira apabila permohonannya diterima Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan dibenarkan menduduki rumah itu pada 15 Ogos lalu.

Rumah PPR DBKL Desa Rejang di Setapak, Kuala Lumpur disewa pada kadar sewa RM124 sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2020 @ 12:07 PM