NOOR Nabila. FOTO Najiy Jefri
NOOR Nabila. FOTO Najiy Jefri
Najiy Jefri

 

BEKAS isteri pelakon Sharnaaz Ahmad, Noor Nabila Mohd Noor tiada perancangan untuk kembali bersama dengan aktor itu biarpun ramai pihak mendoakan agar mereka kembali bersama.

Nabila berkata, dia mengakui lebih selesa dengan statusnya sebagai ibu tunggal dan mahu memberikan fokus kepada diri sendiri.

"Ada yang mengharapkan kami kembali bersama selepas melihat hubungan saya dan Sharnaaz baik. Sebenarnya, antara kami memang sudah lama baik demi anak. 

"Kalau ada jodoh, Insya-Allah. Tapi, rasanya saya lebih selesa untuk meneruskan hidup sendiri. Saya serta Sharnaaz pun sudah 'move on' dan fokus kami sekarang ialah anak, Jebat Jayden," katanya.

Menurut Nabila, walaupun mereka tidak lagi bersama, Sharnaaz tetap memberikan komitmen yang sangat baik sebagai seorang bapa. 

"Saya gembira dan bersyukur kerana Sharnaaz tak pernah abaikan tanggungjawab sebagai bapa.

"Boleh dikatakan hampir setiap hari dia meluangkan masa berjumpa dengan anak.

"Saya sendiri tak kisah kerana anak kami memang berhak mendapat kasih sayang ibu dan bapa secara sama rata," katanya. 

Nabila dan Sharnaaz sah bercerai pada 9 Julai lalu secara hakam di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.

Pasangan itu berkahwin pada 31 Mac 2017 di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat Jayden yang kini berusia dua tahun.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 1:43 PM