BELLA akui belum mampu hadam segala tumpuan diberikan gara-gara penampilan dalam filem Peninsula.
BELLA akui belum mampu hadam segala tumpuan diberikan gara-gara penampilan dalam filem Peninsula.
Georgie Joseph

LAMPU limpah yang menghujani Bella Rahim sekarang selayaknya diterima pelakon berusia 46 tahun ini.

Daripada bukan siapa-siapa dalam industri, kini rata-rata rakyat Malaysia mengenali dirinya.

Bella atau nama sebenarnya Siti Robela Abdul Rahim mengecap populariti kilat gara-gara penampilan sebagai watak tambahan dalam filem sekual Train to Busan, Peninsula.

Filem berprofil besar itu menjadi batu loncatan keemasan buat dirinya.

Namun pelakon yang bermula dalam bidang teater pada 2007 ini jelas masih di awang-awangan.

Dia mengakui belum mampu menghadam segala tumpuan diberikan kepadanya kerana menganggap masih kerdil dalam industri seni tempatan.

"Sejujurnya, saya rasa diri ini masih bukan siapa-siapa dalam industri. Permulaan karier seni saya tidak gah mana dan profil kerjaya pun masih sangat tipis dalam radar seni lakonan arus perdana.

"Disebabkan itu, tumpuan yang diberikan sekarang terlalu besar untuk saya hadam. Saya masih tidak sangka mendapat peluang keemasan terbabit dalam produksi antarabangsa. Filem besar pula.

"Bagaimanapun, saya sambut setiap inci sokongan daripada rakyat Malaysia dengan tangan terbuka. Saya benar-benar berharap pencapaian ini menjadi motivasi diri untuk melangkah lebih jauh membina nama sebagai pelakon berkualiti," katanya.

Menggalas watak Jane dalam filem arahan Yeon Sang-ho itu, Bella tidak mampu menyembunyikan rasa kagum dengan produksi Korea Selatan.

Baginya, pengalaman berharga itu benar-benar membuka matanya.

Apatah lagi, pembabitannya dalam produksi tempatan boleh dihitung dengan jari sebelum ini, baginya dia teringin ulang semula pengalaman itu.

Menurutnya, produksi Peninsula serba-serbi sempurna.

BELLA syukuri pengalaman berlakon filem Peninsula.
BELLA syukuri pengalaman berlakon filem Peninsula.

"Sebaik melangkah masuk dalam set filem itu, saya terkesima melihat betapa gahnya produksi mereka. Buat pertama kali juga, saya berlakon dalam set menggunakan skrin hijau yang sangat besar.

"Demikian juga ketelitian produksi terhadap setiap aspek untuk semua babak dalam filem itu. Kru pula sangat tangkas melakukan tugasan mereka selain corak kerja mereka penuh sistematik," katanya.

Bagaimanapun, paling menyentuh hati Bella adalah ketelitian produksi mengatur setiap perincian wataknya.

Bukan sekadar disebabkan dia berpeluang menyarung kostum tertera logo Malaysia, bahkan dia tidak sangka perincian kostum itu sempurna.

"Sebaik meneliti sendiri perincian kostum itu, saya terpegun dengan kesempurnaan jahitannya termasuk kalimah Allah dan Muhammad pada logo berkenaan. Jelas sekali, mereka tidak terlepas pandang walau seinci pun aspek itu.

"Ketika diminta menyarung pakaian itu, mulanya saya kena pakai baju biasa dulu. Kemudian, baru saya sarung pakaian itu dan sangat terkejut ia mempunyai logo Malaysia selain pembuatannya sangat teliti. Tipu kalau saya cakap tidak bangga," katanya.

Berkongsi perkembangan karier seninya, Bella kini menunggu 'lampu hijau' untuk kembali beraksi menjayakan pementasan di luar negara.

Berkelulusan Diploma Seni Persembahan dari Ècole Philippe Gaulier, Paris, Perancis, dia bertuah memiliki jaringan di luar.

"Tahun hadapan, saya bakal menjayakan sebuah pementasan teater berjudul Didn't Know That About You di Festival Teater Musim Bunga Norway. Persembahan itu sepatutnya dilangsungkan April lalu namun ditunda berikutan krisis pandemik Covid-19.

"Saya akan menjayakan persembahan itu bersama rakan sekelas ketika menuntut di Paris dulu. Semestinya saya sangat teruja memandangkan saya dapat salurkan ilmu dituntut sebelum ini ke dunia nyata," katanya.

Walaupun nama Bella masih asing dalam industri filem tempatan, dia mula berlakon teater lebih 10 tahun lalu.

Pada 2017, dia berjaya tamatkan pengajian di Ècole Philippe Gaulier.

Lebih bermakna, dia berguru dengan mogul seni persembahan yang pernah mengajar nama besar termasuk Sacha Baron Cohen, Emma Thompson dan Helena Bonham Carter.

Pada Jun lalu, dia turut dinobatkan trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Cosmo India 2020 untuk filem pendek berjudul Ikhwan.

Bella juga pernah terbabit dalam filem Ola Bola arahan Chiu Keng Guan sebagai watak tambahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 6:15 AM