Ayda Jebat
Ayda Jebat
Najiy Jefri


ENGGAN menuding jari terhadap mana-mana pihak berikutan dakwaan segelintir pihak proses suntingan drama lakonannya, Bukan Gadis Biasa di tahap teruk, Ayda Jebat tampil memohon maaf kepada semua penonton.

Ayda berkata, dia mengambil kelemahan itu atas kesilapannya sebagai pelakon kerana sebagai satu pasukan mereka perlu bekerjasama.

"Saya mohon maaf jika ada penonton yang kurang senang dengan perkara itu. Saya akui penonton sekarang semakin bijak dan boleh melihat sendiri kelemahan yang berlaku . Saya mohon jangan salahkan editor atau penyunting semata-mata kerana pada pendapat saya, semuanya harus bekerjasama.

"Saya salahkan diri sendiri. Kadang-kadang, sebagai pelakon, saya terlupa menjaga konti atau kesinambungan lakonan saya. Sekejap berdiri, sekejap duduk. Kru yang menjaga konti juga mungkin terlepas pandang. Akhirnya, penyunting pun tak boleh nak buat apa dan mereka harus menyunting drama itu menggunakan visual sedia ada," katanya .

Menurut Ayda, biarpun drama terbitan JS Pictures Sdn Bhd itu terpalit beberapa isu, namun ia tetap menerima sambutan baik penonton.

"Alhamdulillah, drama bersiri ini mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan apabila kekal trending setiap kali bersiaran. Saya bersyukur kerana masih ramai penonton yang mengambil mesej positif  dalam drama bersiri ini untuk dijadikan teladan dan contoh. Segala yang baik datang dari Allah dan segala yang kurang itu datang dari saya sendiri," katanya.

Selain suntingan, drama bersiri Bukan Gadis Biasa turut mendapat kritikan dari segi solekan kesan khas watak orang tua lakonan Sheila Rusly serta kenyataan pengarahnya, Jinggo yang mendapat perhatian netizen.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2020 @ 4:45 PM