KEHIDUPAN Hafiz kini lebih bermakna dengan kehadiran Hamdee.
KEHIDUPAN Hafiz kini lebih bermakna dengan kehadiran Hamdee.
Syafil Syazwan Jefri

RAMADAN tahun ini tentunya penuh bermakna buat penyanyi, Hafiz Hamidun apabila berpeluang meraikannya bersama anak angkat, Hamdee Hafiz yang kini berusia 50 hari.

Hafiz berkata, dia bersyukur kerana putera kesayangannya itu tidak banyak meragam dan mudah untuk diuruskan.

"Tahun ini rasa bahagia itu sedikit berbeza dengan adanya Hamdee dalam kehidupan saya. Alhamdulillah, dia pun tak banyak meragam, katanya.

Berkongsi mengenai pengalamannya itu, Hafiz bersyukur kerana keluarganya turut sama membantu menguruskan anaknya.

"Keluarga saya pun ada bersama saya dan menjaga Hamdee. Alhamdulillah kerana semuanya dipermudahkan dan dapat diatur dengan baik. Cuma disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, pergerakan untuk keluar rumah bagi menjalani pemeriksaan bulanan dan sebagainya sedikit terhad."

Mujur saya mendapat khidmat nasihat daripada doktor dan saya dibenarkan untuk membawa Hamdee menjalani pemeriksaan apabila masuk usia dua bulan nanti, katanya.

Berkongsi mengenai kerja dan aktiviti di rumah sepanjang Ramadan dalam tempoh PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Hafiz menyentuh mengenai penghasilan kandungan kreatif.

"Sekarang, ramai yang masih takut untuk keluar dan selesa berada di rumah. Dalam waktu begini mereka perlukan kandungan kreatif untuk ditonton contohnya di YouTube dan platform media sosial.

"Jadi, ini masanya untuk kita hasilkan kandungan kreatif bagi disajikan buat mereka yang ingin menonton. Contohnya, kalau anda suka memasak, hasilkan video atau kandungan berkaitan masakan, katanya.

Menurutnya, dia sendiri dapat melihat perkembangan positif untuk penghasilan kandungan kreatif untuk platform atas talian.

"Ramai sudah hasilkan pelbagai kandungan kreatif dan pada masa sama, dapat mengisi masa terluang serta menjana pendapatan. Saya dapat rasakan bahawa kandungan kreatif akan menjadi satu hala tuju positif buat pemain dalam industri kreatif, katanya.

Berkongsi mengenai kerja yang tergendala dan terbatal, Hafiz berkata, dia juga kehilangan 20 tawaran kerja.

"Ada banyak tawaran persembahan yang dibatalkan dan jumlahnya sekitar 20 persembahan. Apa yang dirancang untuk dilakukan sepanjang Ramadan juga terpaksa dibatalkan.

"Namun, kita lihat apa yang berlaku dari sudut positif dan saya yakin setiap apa yang berlaku ada hikmahnya. Mungkin kita tak ada rezeki untuk kerja yang sepatutnya dibuat, tetapi akan ada rezeki lain selepas ini. Insya-Allah, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2020 @ 6:30 AM