Najiy Jefri


MESKIPUN kehadiran ramai bakat baru, bintang muda, Kymie Iman berharap laluan kerjaya nyanyiannya akan mendapat tempat apabila tampil dengan lagu berjudul Potret D’Awan.

Siapa sangka, minat yang mendalam pada muzik akhirnya membawa peluang buat Kymie memiliki lagu sendiri hasil ciptaan abangnya, Ekal manakala liriknya ditulis oleh Tun Kudu.

Lagu yang sarat dengan mesej positif itu menceritakan mengenai kerinduan seorang anak terhadap ibunya.

“Abang memang tahu minat mendalam saya pada nyanyian. Satu hari, dia minta saya untuk merakam lagu ini dan tak sangka melodi yang dihasilkan sesuai dengan vokal.

“Jadi tanpa berfikir panjang, kami nekad untuk merakamkannya. Tambahan pula, lagu ini menceritakan rindu seorang anak terhadap ibunya. Tak kisahlah sama ada ibu itu tinggal berjauhan atau sudah meninggal dunia.

“Ketika merakamkan lagu ini, saya menghayati setiap bait liriknya. Saya dapat rasakan ada magis dalam lagu ini yang akan menjentik hati pendengar,” katanya.

Menurut pemilik nama sebenar Mohamad Hakimi Iman Mohamad Nizam, 22, dia tidak menyangka minat yang sekadar suka-suka akhirnya kini menjadi kerjaya.

KYMIE Iman
KYMIE Iman

“Sebelum ini saya sering membuat persembahan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Arau, Perlis kerana belajar di sana. Jadi kawan-kawan sering ‘menjual’ nama saya untuk membuat persembahan.

“Apatah lagi, saya seorang yang sangat pemalu. Jadi saya cuba memberanikan diri dengan membuat persembahan di khalayak ramai untuk mencabar diri.

“Jujur tak sangka, sekarang saya ada lagu sendiri. Saya berharap ia akan didengari ramai. Saya juga berangan-angan supaya lagu pertama ini dapat menjadi runut bunyi untuk drama tempatan supaya cepat melekat di jiwa pendengar,” katanya.

Menjadikan penyanyi Hafiz Suip sebagai idola, Kymie yang kini melanjutkan pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan berkata, buat masa ini kerjaya nyanyian akan menjadi karier sambilan kerana dia baharu saja mengikuti pengajian di UiTM Shah Alam.

“Namun, jika ada tawaran nyanyian atau aktiviti promosi lagu sesuai dengan jadual, saya tidak sesekali akan menolak peluang kerana mahu membuktikan kepada orang luar bakat seni dimiliki.

“Saya juga nak khalayak umum lebih mengenali muzik yang diketengahkan selain terus menerokai kerjaya ini di masa depan. Mana tahu, ada tempat yang baik untuk saya mencari rezeki dalam bidang ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2020 @ 6:30 AM