BEKAS peserta Raja Lawak 5, Gbob berada di HKL.
BEKAS peserta Raja Lawak 5, Gbob berada di HKL.
Ridzuan Abdul Rahman


BEKAS peserta Raja Lawak 5, Gbob, dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas terjatuh di rumahnya, semalam.

Perkara itu dimaklumkan pelawak, Amir Raja Lawak menerusi kiriman video kepada rakan artis.

"Ada sedikit berita sedih nak beritahu. Sahabat kami dari keluarga Raja Lawak iaitu Gbob terjatuh masa di rumahnya pada pagi semalam dan sekarang berada di HKL.

"Info terkini, Gbob berada dalam bilik pembedahan untuk buang darah beku dalam kepala.

"Insya-Allah tak ada apa-apa yang buruk, jangan buat spekulasi yang bukan-bukan," katanya yang meminta semua pihak mendoakan yang baik-baik untuk Gbob dan keluarganya.

Menurut Amir, mana-mana pihak yang ingin menghulurkan sumbangan bagi meringankan urusan keluarga Gbob, boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank 1143 0207 5393 milik isterinya, Siti Aisyah Wahiddin.

Sementara itu, Biro Agama Seniman Malaysia, Salman al-Farisi berkata, Gbob selamat menjalani pembedahan membuang darah beku di kepalanya, namun masih belum sedarkan diri.

"Dia kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU). Semoga berkat penghulu segala hari Jumaat, dipermudahkan urusan keluarganya.

"Saya memohon semua yang mengenali Gbob doa dan hadiahkan bacaan Surah al-Fatihah," katanya.

Gbob, 33, atau nama sebenarnya

Mohd Hamizi Hashim menganggotai kumpulan Bobo ketika bertanding dalam Raja Lawak 5.

Dia pernah membintang filem Halim Munan, Strawberi Cinta dan Operasi X serta pelbagai drama antaranya Nasi Minyak Kuah Cinta dan terbaru Bila Hati Berbisik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 12:35 PM