Najiy Jefri


KETUA Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak menjelaskan kehadiran Datuk Seri Siti Nurhaliza di pentas Anugerah Juara Lagu Ke 34 (AJL34) adalah kejutan pada saat-saat akhir.

Johan ketika ditemui berkata, lagu Anta Permana sepatutnya akan dipersembahkan secara keseluruhan oleh Bob Yusof, namun berlaku gimik dengan penampilan istimewa Siti yang juga penyanyi asal lagu terbabit.

“Ia gimik pada saat-saat akhir oleh Bob dan pasukannya dengan membawakan Siti. Jadi secara tidak langsung kru teknikal terpaksa membuat persiapan pada saat akhir kerana baru tahu mengenai kejutan itu.

“Namun berlaku pula masalah teknikal apabila baris pertama nyanyian Siti tidak kedengaran namun ia berjaya diatasi selepas itu,” katanya.

Sementara itu, ketua juri Ajai berkata, dia perasan wajah Siti seakan tidak selesa namun sebagai penyanyi hebat beliau berjaya menanganinya dengan baik.

“Apabila membabitkan persembahan secara langsung banyak hal yang mungkin terjadi dan tidak dapat dielakkan.

“Bukan hanya Siti tapi sesiapa saja yang berdepan masalah teknikal akan ada masalah tapi beliau seorang penyanyi yang hebat . Apa yang kita lihat berlangsung dengan lancar,” katanya.

Dalam pada itu, pencipa lagu Anta Permana Hael Husaini mengakui kesalahan kecil terbabit bukan satu isu besar sebaliknya sering berlaku kepada penyanyi lain.

“Kita tidak boleh nak salahkan pada sound system semata-mata. Kalau nak diikutkan kalau kejadian itu nak berlaku ia akan berlaku.

“Sebenarnya persiapan sudah dilakukan awal tapi kami tak sangka akan ada sedikit gangguan.

“Saya reda dengan apa yang berlaku dan tidak terbit perasaan kecewa. Bagi saya Siti sudah memberikan persembahan yang terbaik dan sangat profesional apabila tetap teruskan nyanyiannya.

“Setakat kesalahn yg kecil ini, saya boleh maafkan. Benda ini tiadalah besar mana. Peristiwa ini juga pernah berlaku pada saya tahun lalu,” katanya.

Terdahulu Siti menggamatkan pentas AJL34 apabila tampil membuat kejutan menyanyikan lagu Anta Permana bersama Bob Yusof.

Sebaik kelibatnya muncul seluruh penonton bersorak dan tidak menjangka kehadiran penyanyi Siti di pentas berprestij itu malam tadi.

Sebelum ini Siti tidak menolak kemungkinan untuk menyanyikan lagu Anta Permana yang bersiaran secara langsung di Stadium Axiata, Bukit Jalil malam tadi.

Berikutan keputusannya untuk tidak lagi bertanding dalam program Muzik-Muzik, lagu dendangannya itu dipersembahkan oleh Bob apabila ia layak bersaing pada peringkat separuh akhir, November lalu.

Anta Permana adalah lagu ciptaan Hael Husaini bersama Ezra Kong.

Kali terakhir Siti beraksi di pentas AJL pada 2008 iaitu AJL22 menerusi lagu Destinasi Cinta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Februari 2020 @ 9:32 AM