SITI (tiga dari kiri) ketika majlis penyampaian sumbangan. FOTO IG SITI NURHALIZA
SITI (tiga dari kiri) ketika majlis penyampaian sumbangan. FOTO IG SITI NURHALIZA
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza bersyukur program tanggungjawab sosial korporat (CSR) SimplySiti Di Hati anjuran Simplysiti berjaya mengumpul dana RM171,145 dalam tempoh setahun.

Siti berkata, kempen ini bukan bertujuan untuk mengumpul dana semata-mata tetapi turut membantu membiayai kos pembedahan jantung lima kanak-kanak pesakit jantung.

Mereka terdiri daripada Siah Wan Ying, Nurul Syamimi Ahmad Paridon, Auni Insyirah Muhammad Firdaus Hilmi, Nur Auni Mardhiyah Ahmad Hanafi dan Mugilan a/l Ramesh Rao.

“Alhamdulillah, kesemua mereka sudah selamat menjalani pembedahan dan kini sedang berada dalam proses penyembuhan.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang memberikan sumbangan untuk bersama-sama membantu kanak-kanak yang menghidap masalah jantung ini,” katanya.

Terdahulu, Siti ditemui pada pada majlis penyerahan sumbangan itu kepada Pengerusi Jawatankuasa Sosial dan Kebajikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Institut Jantung Negara (IJN), Raja Datin Seri Zuraida Raja Mansur.

Menurut Siti, dia gembira apabila program itu mendapat maklum balas baik sekaligus dapat membantu golongan sasaran mereka.

“Kempen ini bukan saja bertujuan untuk mengutip dana bagi membantu kos pembedahan kanak-kanak ini, tetapi juga untuk memberikan kegembiraan kepada mereka.

“Sebelum ini, pada pertengahan Januari lalu, satu acara istimewa Fun Day Out diadakan di Skytropolis Indoor Theme Park, Genting Highland dan kami membawa mereka untuk berhibur,” katanya.

Menarikya, kempen itu juga mendapat sokongan besar daripada beberapa syarikat besar seperti Cuckoo yang menghulurkan sumbangan terbesar RM100,000.

Kempen Simplysiti Di Hati dimulakan sejak 2011 dan sehingga tahun 2018, kempen itu berjaya mengumpul dana lebih RM200,000 dan membiayai kos pembedahan 14 kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Februari 2020 @ 3:07 PM