BILLIE Eilish (kiri) dan Finneas O’Connell bersama anugerah yang dimenangi mereka pada Anugerah Grammy ke 62, di Los Angeles, hari ini. FOTO Reuters
BILLIE Eilish (kiri) dan Finneas O’Connell bersama anugerah yang dimenangi mereka pada Anugerah Grammy ke 62, di Los Angeles, hari ini. FOTO Reuters
Georgie Joseph


PENYANYI Billie Eilish menepati ramalan apabila menang besar di Anugerah Grammy 2020 dengan membolot empat trofi utama iaitu Rakaman Terbaik, Album Terbaik, Lagu Terbaik, dan Artis Baru terbaik.

Sekali gus, dia menjadi artis wanita pertama memenangi empat kategori itu selepas 62 tahun penganjuran anugerah muzik terbesar dunia berkenaan yang berlangsung di Staples Center in Los Angeles, Amerika Syarikat.

Untuk kategori utama iaitu Rakaman Terbaik, penyanyi berusia 18 tahun itu menewaskan Ariana Grande, Bon Iver, Khalid, H.E.R., Lizzo, Lil Nas X Featuring Billy Ray Cyrus, dan Post Malone & Swae Lee.

Manakala untuk kategori artis baru, Eilish berjaya mengenepikan saingan paling dekatnya Lizzo, Black Pumas, Maggie Rogers, Rosalia, Tank and the Bangas, dan Yola.

Kemenangannya sudah dijangka berikutan fenomena yang diciptanya sekarang. Eilish tidak dinafikan artis muda paling berpengaruh di seluruh dunia pada masa kini.

Sementara itu, meskipun mendapat pencalonan paling banyak iaitu lapan kategori, Lizzo tidak pulang hampa apabila memenangi tiga trofi iaitu Persembahan Pop Solo, Album Kontemporari Urban, dan Persembahan Tradisional R&B.

Pada acara berkenaan, situasi bertukar sebak sewaktu penghormatan diberikan kepada mendiang Kobe Bryant yang meninggal dunia dalam nahas helikopter terhempas pagi ini.

Anugerah Grammy edisi kali ini dihoskan penyanyi Alicia Keys yang mana turut dimeriahkan dengan persembahan hebat daripada Ariana Grande, Demi Lovato, BTS, Aerosmith, Camilla Cabello, dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 1:51 PM