WAN Hanafi Su pada majlis ramah mesra bersama pelakon  filem Garang di Petaling Jaya. FOTO SYARAFIQ ABD SAMAD
WAN Hanafi Su pada majlis ramah mesra bersama pelakon filem Garang di Petaling Jaya. FOTO SYARAFIQ ABD SAMAD
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON filem Bunohan, Wan Hanafi Su menasihati pelakon baharu supaya tidak cepat berasa selesa dengan kedudukan dan pencapaian diraih hari ini, sebaliknya perlu sentiasa menanamkan sikap ingin belajar.

Wan Hanafi yang juga pemenang Pelakon Lelaki Terbaik Drama pada Anugerah Skrin 2013 berkata, terdapat beberapa pelakon baharu yang berpotensi melangkah lebih jauh dalam bidang ini asal saja tidak terpengaruh dengan perkara negatif.

“Pesan saya, jangan cepat berasa diri sudah ‘menjadi’ atau bergelar bintang dan terkenal. Sebagai pelakon baharu, mereka perlu tanam sikap ingin belajar dan menggali ilmu dalam diri kerana lakonan bukan bidang yang boleh diajar.

“Ada beberapa pelakon muda yang saya lihat memang berpotensi untuk melangkah lebih jauh dalam bidang ini, tapi saya tidak berani memetik nama kerana enggan menyinggung sesiapa.

“Walaupun mempunyai potensi untuk terus berkembang, saya berharap masing-masing tidak terikut-ikut dengan apa yang ada di sekeliling mereka. Macam saya pun, saya masih menganggap setiap hari adalah proses pembelajaran untuk saya,” katanya.

Pada masa sama, pelakon itu menyuarakan rasa kurang senang apabila kebanyakan penerbit menilai populariti seseorang artis ditentukan jumlah pengikut di media sosial.

“Media sosial adalah berbahaya kerana menjadi tular tidak semestinya sesuatu yang bagus. Ini senario yang berlaku dalam industri seni hari ini apabila nilai bayaran seseorang artis diukur berdasarkan jumlah pengikut di laman sosial,” katanya.

Sementara itu, Wan Hanafi meluahkan rasa terkilan apabila ada beranggapan dia meletakkan bayaran tinggi selepas filem lakonannya, Apprentice ditayangkan di Cannes, Perancis pada 2016.

“Ada pihak beranggapan saya mengenakan harga tinggi selepas pulang dari sana, sedangkan ia tidak pernah berlaku. Saya kecewa kerana mereka tidak pernah menghubungi saya, sebaliknya membuat andaian sendiri.

“Bayaran adalah perkara peribadi. Saya sendiri takkan memberitahu berapa harga saya kerana lazimnya saya akan bertanya mengenai bajet. Cuma, jangan sampai menghina dengan membayar seseorang pelakon terlalu rendah.

“Dalam hal ini, saya menyalahkan penerbit kerana mereka sendiri boleh menilai. Takkan harga yang hendak ditawarkan kepada pelakon baharu lebih tinggi daripada orang lama?” katanya.

Mengenai perkembangan terkininya, Wan Hanafi bakal muncul dalam filem Garang terbitan Sakti Films Sdn Bhd pada 5 Disember ini.

Antara pelakon filem yang mengangkat tema semangat juang golongan kurang upaya (OKU) itu ialah Jalil Hamid, Ahmad Maembong, Adam Lee, Chacha Maembong dan Pablo Amirul.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 6:00 AM