FARA bakal bernikah pada Disember nanti. FOTO Aziah Azmee
FARA bakal bernikah pada Disember nanti. FOTO Aziah Azmee
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI, Fara Hazel memaklumkan bakal menamatkan zaman bujangnya menjelang Disember ini.

Fara, 23, ketika dihubungi berkata, dia juga bakal melancarkan satu single duet bersama pasangannya ketika majlis resepsi yang akan dilangsungkan nanti.

"Insya-Allah, saya bakal bernikah pada Disember nanti dan tarikhnya, akan saya maklumkan selepas ini. Pada majlis resepsi, saya akan lancarkan lagu duet bersama pasangan," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, lagu ciptaan ayahnya yang juga komposer, Yusri Ishak atau nama penanya, ACK.

"Ayah ciptakan lagu ini dan liriknya ditulis oleh saya dengan tunang. Ia mengenai kisah cinta kami, dari detik pertama perkenalan sehinggalah ke jenjang pelamin," katanya.

Fara sebelum ini mengikat tali pertunangan dengan pasangannya, Tengku Mohammad Kamal Hishamuddin, 24, pada 6 Julai lalu dalam majlis tertutup.

"Majlis pertunangan ini diadakan secara tertutup dan sengaja tidak diuar-uarkan kerana bagi saya, tempoh pertunangan adalah tempoh untuk perkenalan," katanya.

Fara dan Kamal mengenali satu sama lain sejak tiga tahun lalu, namun, mula rapat pada April tahun ini sebelum diikat sebagai tunang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 3:50 PM