MAHU terus menjaga kualiti diri sebagai pelakon.
MAHU terus menjaga kualiti diri sebagai pelakon.
Georgie Joseph

GIGIH menempa nama dalam industri lakonan tanah air selama ini, Jasmine Suraya, 29, menyifatkan perjuangan lima tahun itu sangat berbaloi.

Pelakon yang juga pengacara ini terasa bertuah apabila banyak pihak mempercayai bakatnya. Disebabkan itu, tidak sekelumit pun rasa sesal apabila memutuskan untuk menjadi anak seni.

Bagaimanapun, gadis manis ini tidak menafikan laluan pilihannya itu juga ada ranjau. Pernah ragu-ragu dengan kebolehan dirinya, anak jati Kuching, Sarawak ini bersyukur rezekinya tidak pernah putus.

“Saya boleh simpulkan perjalanan sepanjang lima tahun lalu sangat mencabar. Terutama ketika awal pembabitan dahulu, ketika mana penguasaan bahasa Melayu saya sangat teruk.

“Ketika itu, saya tertanya-tanya mampu atau tidak menempatkan diri dalam industri seni, terutama bidang lakonan. Bimbang juga jika kehadiran diri ini tidak diterima.

“Namun, saya sangat percaya jika berusaha keras, pasti kejayaan akan menyusul. Dan, nampaknya perjuangan saya itu sangat berbaloi,” katanya.

JASMINE sudah lima tahun bergelar pelakon.
JASMINE sudah lima tahun bergelar pelakon.

Sambung Jasmine, apa yang diraihnya hari ini umpama mimpi indah. Malah, dia berpuas hati apabila semuanya atas titik peluh sendiri.

“Saya bangga apabila dapat bina nama dengan usaha sendiri. Pendapatan yang saya dapat sekarang tidak bergantung pada orang lain,” katanya.

Lulusan Sarjana Muda Sains Politik dan Ekonomi ini juga bersyukur kerana dapat merealisasikan impian zaman kanak-kanaknya untuk bergelar pelakon. Meskipun sedar mampu hidup mewah jika memilih kerjaya mengikut kelulusannya, dia tidak kesal.

“Saya akan lebih menyesal sekiranya tidak memilih menjadi anak seni. Ini adalah impian saya sejak kecil dan bidang seni jugalah membuatkan hidup saya jauh lebih bermakna.

“Saya sudah pernah bekerja sebagai penulis untuk dunia perniagaan. Namun, saya tidak seronok dan jika teruskan, mungkin hidup saya rasa sia-sia,” katanya.

Jasmine ditemui pada acara makan malam bagi menghargai lebih 30 peminatnya, baru-baru ini. Pada majlis itu, penyanyi Sufian Suhaimi meluangkan masa sebagai kejutan.

SUFIAN membuat kejutan pada majlisnya.
SUFIAN membuat kejutan pada majlisnya.

Jasmine berkata, dia tidak sangka ada kejutan itu apatah lagi dia meminati penyanyi lagu Di Matamu itu.

“Majlis ini diadakan untuk menghargai peminat yang menyokong karier saya sejak lima tahun lalu. Mereka buat kejutan kerana tahu saya sukakan lagu Di Matamu.

“Tahun lalu saya putus cinta dan ia sangat memedihkan. Saya rasa tersentuh hati setiap kali dengar lagu ini,” katanya.

Bagaimanapun, pelakon filem Paskal ini menganggap, kejutan berkenaan sebagai sokongan sesama rakan artis.

“Mula-mula saya cuma minat lagu Di Matamu dan tidak kenal siapa Sufian. Bila sudah kenal, tidak terfikir pula akan bertemu.

“Ini pertama kali kami bersua muka dan saya rasa terharu dengan kejutan ini. Saya sukakan lagu ini, suara Sufian, juga tabiatnya yang suka membaca,” kata Jasmine.

SANGAT menghargai peminatyang tidak henti menyokong.
SANGAT menghargai peminatyang tidak henti menyokong.

Kualiti jadi keutamaan

Berkongsi perkembangan terkini, Jasmine berkata, dia mementingkan kualiti dan kerana itu memilih tawaran yang benar-benar dirasakan bertepatan dengan jiwanya.

Bagi memastikan dirinya dikenang sebagai pelakon berkaliber, Jasmine tidak kesal menolak tawaran dua filem sebelum ini.

“Dalam tempoh 10 tahun akan datang, saya mahu dikenali sebagai pelakon yang bagus dan memaparkan kerja berkualiti. Jika mahu tinggalkan impak besar, kenalah bintangi karya yang hebat.

“Itulah misi saya sekarang yang mana mahu simpan tenaga untuk disalurkan dalam naskhah yang benar-benar berkualiti.

“Saya tidak kesal melepaskan tawaran yang tidak menjanjikan kepuasan kepada saya. Saya tidak mengejar kuantiti sebaliknya mengutamakan kualiti,” katanya.

Dalam pada itu, Jasmine teruja kerana melakonkan watak penagih dadah dalam sebuah drama tidak lama lagi.

“Ini antara watak dambaan saya. Saya sudah mula buat kajian bagi memastikan lakonan nanti menjadi dan nampak realistik.

“Bagaimanapun, saya belum boleh kongsi maklumat terperinci mengenai drama ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 6:30 AM