FAHMY enggan  dikenali kerana kisah peribadi.
FAHMY enggan dikenali kerana kisah peribadi.
Syanty Octavia Amry


SEDAR dirinya tidak popular seperti pelakon lain, Fahmy Reza tidak mahu terlalu sibuk berkongsi kisah peribadinya kepada umum.

Fahmy, 28, yang dikaitkan mempunyai hubungan istimewa dengan usahawan kosmetik, Joy Revfa berkata, dia mahu masyarakat lebih mengenalinya dengan lakonan dan bukan kisah peribadi semata-mata.

Fahmy yang mula membabitkan diri dalam bidang lakonan sejak 2014 mula dikenali menerusi filem Banglo Berkunci dan Keranda Tok Wan Terbang.

“Saya tahu ramai yang mula tertanya-tanya mengenai hubungan saya dengan Joy selepas melihat Joy memuat naik gambar kami di Instagram.

“Memang kami sedang berkawan tetapi cukuplah masyarakat tahu hubungan kami setakat itu saja dan saya tidak mahu bercakap lebih-lebih.

“Kalau boleh saya mahu masyarakat lebih melihat lakonan saya berbanding kisah peribadi kerana tidak mahu terpalit dengan kontroversi. Walaupun sedar kadang-kadang kontroversi itu mampu menaikkan nama seseorang, saya bukanlah orang yang sukakan cara begitu,” katanya.

Fahmy berkata, dia mengenali ibu tunggal anak satu itu sudah lama berikutan mereka berasal dari bandar yang sama iaitu Kuantan, Pahang.

“Untuk bercerita lebih lanjut bagaimana kami mula rapat biarlah ia menjadi rahsia kami saja. Apa yang saya boleh katakan kami sudah lama kenal. Namun, cuma baru-baru ini kami mula rapat dan saya tidak menolak jika ditakdirkan bertemu jodoh dengan

Joy,” katanya.

Bercerita mengenai karier lakonannya, Fahmy berkata, dia yang kini bergerak sendiri baru selesai menjalani penggambaran drama bersiri berjudul Bulan Di Kota Langit.

Selain Fahmy, turut berlakon dalam drama itu ialah Fezrul Khan, Risteena Munim dan Fazren Rafi.

“Saya masih menerima tawaran berlakon tetapi sebelum ini saya berehat kerana fokus kepada perniagaan baju kurta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 5:00 AM