LINDA anggap kes saman dengan jururawat berakhir apabila diselesaikan secara baik di luar mahkamah. FOTO Arkib NSTP
LINDA anggap kes saman dengan jururawat berakhir apabila diselesaikan secara baik di luar mahkamah. FOTO Arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir


MENGAMBIL keberkatan Ramadan, penyanyi Linda Rafar memaafkan semua pengguna laman sosial yang memaki dan melemparkan kata kesat terhadap diri, keluarga dan arwah ibunya, Rasimah Abdul Rahman.

Linda, 41, atau nama sebenarnya Azlinda Rafar berkata, dia turut membuat permohonan maaf kepada seorang individu yang juga jururawat di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Difahamkan individu itu sebelum ini memfailkan saman terhadap dirinya berikutan tindakan Linda yang tersalah pandang dan menjangka individu itu mengugut dirinya sebelum memuat naik di Instagram (IG).

Katanya, prosiding kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam tidak diteruskan kerana kedua belah pihak menyelesaikan perkara itu dengan cara baik dan tiada siapa yang kalah atau menang.

“Jururawat ini tidak terbabit dalam isu tukar cadar yang tular di Hospital Shah Alam tahun lalu. Tapi, disebabkan saya memaparkan wajahnya di IG berserta kapsyen siapa ugut saya hantar pada polis, mak dia mahu saman saya.

“Alhamdulillah, semalam hakim meminta kami untuk menyelesaikan perkara ini secara baik selepas mengambil kira semua aspek. Apatah lagi sekarang kita menyambut Ramadan. Kedua-dua pihak pun bersetuju.

“Saya anggap perkara ini sudah selesai. Disebabkan itu, saya berasakan lebih baik juga memaafkan semua warganet yang sebelum ini melemparkan kata-kata keterlaluan kepada diri dan keluarga,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia juga sudah membatalkan semua notis tuntutan saman terhadap lebih 100 pengguna laman sosial yang menulis komen keterlaluan hingga memburukkan diri dan keluarganya berhubung isu fitnah sekumpulan jururawat di Hospital Shah Alam pada Disember lalu.

“Saya sudah maafkan dan batalkan notis saman terhadap sebahagian mereka yang sudah minta maaf. Lagi pula, sebelum ini ada antara mereka yang sudah tampil membuat permohonan maaf secara terbuka di platform media sosial masing-masing seperti yang dituntut.

“Namun, bagi yang masih terus merosakkan reputasi saya tiada pilihan melainkan menebus maruah dan reputasi.

“Saya berharap perkara sebegini tidak berulang lagi dan menjadi pengajaran kepada semua pihak. Saya mahu menjalani hidup dengan lebih tenang,” katanya.

Terdahulu pada Januari lalu, Linda mengadakan sidang media bagi memaklumkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pengguna laman sosial.

Ia susulan tindakan Linda memuat naik status di Instagram mengenai ketidakpuasan hati terhadap sikap jururawat bertugas di Hospital Shah Alam yang menempatkan arwah ibunya.

Perkara itu berlanjutan hingga timbul isu fitnah dan ugut bunuh daripada pengguna laman sosial terhadap Linda dan keluarganya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 2:45 PM