IZZUE dan Awin dalam usaha mendapatkan anak pada tahun ini. FOTO Arkib NSTP
IZZUE dan Awin dalam usaha mendapatkan anak pada tahun ini. FOTO Arkib NSTP
Ramlah Zainal


“TIDAK perlu berasa malu untuk buat pemeriksaan doktor kerana mungkin saya atau isteri yang ada masalah dari segi kesuburan dan sebagainya.

“Saya akan berasa lebih malu jika diri sendiri tidak tahu punca masalah sebenar kenapa kami masih belum dapat anak,” kata pelakon popular Izzue Islam, 28, ketika mengulas perancangannya untuk mendapat cahaya mata pada tahun ini.

Menurut pemilik nama sebenar Muhammad Izzul Islam Mazlan, dia dan isteri, Awin Nurin, 35, sudah bersedia untuk bertemu doktor pakar dalam usaha mendapatkan anak pada tahun ini.

“Kami sudah lima tahun berkahwin dan masih menanti kehadiran cahaya mata.

“Justeru, sampai masanya kami berdua menjalani pemeriksaan doktor pula untuk mengetahui punca masalah dan mendapat nasihat doktor pakar tahun ini,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, ia juga kali pertama dia dan isteri akan menjalani pemeriksaan dengan doktor pakar.

“Maklumlah, sebelum ini saya sibuk dengan karier seni dan bisnes.

“Kali ini, saya dan isteri akan memperuntukkan masa untuk kami berjumpa dengan doktor pakar,” katanya.

Pada masa sama, kata Izzue, dia dan isteri turut mempertimbangkan untuk menjalani rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) dalam usaha mendapatkan cahaya mata nanti.

“Insya-Allah, selagi ia tidak menyalahi dari segi agama, kami juga mahu menggunakan kemudahan teknologi canggih sedia ada untuk dapat anak.

“Saya akui rawatan moden akan membabitkan kos yang tinggi tetapi duit kita boleh cari dan yang penting usaha serta tawakal.

“Kalau ada rezeki, kami mahu dapat anak kembar. Jika bukan kembar dapat anak seorang pun jadilah,” katanya.

Izzue dan Awin berkahwin pada 2 Jun 2013 selepas bercinta selama lima tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 4:29 PM