SHUKRI Yahaya. FOTO Asrixs Studio
SHUKRI Yahaya. FOTO Asrixs Studio
Ridzuan Abdul Rahman

Lakonannya menerusi drama Andainya Takdir sangat hebat sehingga mencetus fenomena dalam kalangan penonton.

Begitu juga kejayaan drama 7 Hari Mencintaimu membuatkan nama Shukri Yahaya terus menjadi sebutan peminat.

Bagaimanapun, musim kedua Andainya Takdir gagal mengatasi kehebatan musim pertama dan Shukri, 30, tenang menerima hakikat ini.

“Saya pun berpandangan begitu. Musim pertama lagi hebat. Mungkin orang mengharapkan musim kedua lagi bagus daripada yang pertama sehingga menyebabkan terjadinya situasi ini.

“Penulis skripnya sama tapi pengarahnya bertukar daripada Along Kamaludin kepada Eoon Suhaini dan mungkin sentuhan mereka berbeza.

“Bagaimanapun, saya tetap puas hati kerana rating Andainya Takdir 2 masih tinggi walaupun gagal mengatasi musim pertama,” katanya.

Shukri bersyukur rezekinya dalam lakonan terus bertambah dan terbaru ditawarkan membintangi drama seram berjudul Ghaib untuk Siri Original tonton yang akan disiarkan bermula 15 Disember ini.

“Kali ini saya bawa watak sebagai anggota polis, Detektif Reza yang menyiasat kes misteri di sebuah kolej.

“Saya kena tampil dengan karakter yang tegas dan serius serta fokus dengan kerja. Susah nak tengok dia senyum.

“Saya tak pernah berlakon drama kepolisan dan banyakkan menonton filem terutama lakonan Donnie Yen dalam Flash Point dan drama luar. Tunjuk ajar pengarah dan kerjasama pelakon lain juga banyak membantu,” katanya.

Lebih menarik, dia bergandingan dengan Siti Elizad, Eyka Farhana dan Joanna Bessey.

“Saya selesa berlakon drama ini. Cabarannya ialah saya kena bercakap dialog yang formal sebagai anggota polis. Lagipun, kerjaya mereka penuh dengan disiplin.

“Saya dah banyak kali bekerja dengan Siti Elizad dan mudah berlakon dengannya. Selain itu saya juga seronok dapat bekerjasama dengan pelakon pelbagai bangsa dalam cerita ini.

“Sebaik penggambaran drama ini tamat, saya akan ke lokasi lain pula untuk penggambaran drama slot Samarinda dan Akasia sehingga tahun depan,” katanya.

Sedia tambah anak

Bercakap mengenai keluarga, Shukri bahagia melayari kehidupan rumah tangga bersama isterinya, Tya Adnan dan anak mereka, Aaira Ameena yang kini berusia lebih dua tahun.

“Perancangan untuk tambah anak memang ada kerana kalau boleh kami inginkan ramai anak. Tapi belum ada rezeki lagi.

“Kalau boleh saya nak cepat tambah bilangan ahli keluarga dan masih menanti rezeki daripada Allah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 November 2018 @ 9:01 AM